PRN Sabah: PN tanding 41 kerusi, Ronald Kiandee antara calon

Muhyiddin (depan, tengah) mengumumkan 41 calon PN bakal bertanding pada PRN17.
Muhyiddin (depan, tengah) mengumumkan 41 calon PN bakal bertanding pada PRN17.
A
A
A

PENAMPANG - [KEMAS KINI] Perikatan Nasional (PN) mengumumkan untuk bertanding di 41 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee dan Pesuruhjaya Pas Sabah, Datuk Aliakbar Gulasan merupakan antara calon dikemuka bersama 90 peratus calon muka baharu yang akan menggunakan lambang PN pada PRN kali ini.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, daripada jumlah calon tersebut, 33 orang daripadanya adalah dari parti beliau sendiri, manakala lima lagi merupakan calon Pas dan tiga dari Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

"Walaupun mereka muka baharu tetapi masing-masing mempunyai rekod yang agak baik dan cemerlang, baik dari segi profesion mereka. Sebahagian besar umur pun masih muda dan telah melalui serta melulusi proses saringan yang kita fikir penting untuk diletakkan sebagai calon.

"Kenapa kami pilih tanding 41 (satu kerusi belum umum), kami berasakan itu sudah lebih daripada mencukupi untuk membentuk kerajaan apabila kami menang nanti. Kami telah melalui satu proses menyeluruh menilai setiap kawasan DUN yang ingin ditandingi dan ini adalah jumlah yang kami anggap munasabah serta praktikal.

"Kami telah melalui satu proses menyeluruh menilai setiap kawasan DUN (Dewan Undangan Negeri) yang ingin ditandingi dan ini adalah jumlah yang kami anggap munasabah serta praktikal," katanya ketika ditemui elepas majlis pengumuman calon PN untuk PRN Sabah di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut Muhyiddin yang merupakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, berdasarkan maklumat di lapangan diperoleh oleh Ronald dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, kerusi yang disenaraikan merupakan yang terbaik untuk PN tandingi.

"Kami sedar mungkin parti lain juga berminat untuk bertanding di kerusi yang sama, namun itu tidak menjadi masalah... semakin ramai, semakin meriah.

"Apa yang penting, kami yakin pengundi Sabah cukup matang dan berkelayakan untuk menilai calon yang bertanding dan kami berharap mereka akan memberi peluang kepada Bersatu atau PN untuk menjadi pilihan serta memenangi pilihan raya kali ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai kerjasama dengan parti lain, bekas Perdana Menteri itu berkata, PN terbuka untuk menjalinkan kerjasama dan ia merupakan antara strategi PN untuk membentuk kerajaan selepas PRN nanti.

"Kita terbuka, memang itu satu strategi kita, saya tak umum tadi. Dalam perkiraan kita kalau kita boleh bekerjasama dengan banyak parti lain yang sehaluan, sama pemikiran dan satu ideologi dengan kita... yang sesuai itu tidak jadi masalah.

"Yang utamanya ialah kesemua mereka ini bersedia untuk menubuhkan kerajaan, yang mana kita memegang tanggungjawab bersama. Kalau itu kita boleh dilakukan maka mudah proses pembentukan kerajaan disegerakan," katanya.

Beliau dalam pada itu mengakui bahawa terdapat ramai pihak mendekati PN namun enggan mendedahkan siapa mereka.

Katanya, semua perbincangan itu bersifat strategik iaitu mengenai bagaimana membentuk sebuah kerajaan yang baik secara bersama dan melalui perkongsian kuasa.

"Saya fikir perkara ini amat penting, memandangkan situasi geopolitik di Sabah sejak sekian lama. Selama bertahun-tahun, saya belum pernah melihat satu parti pun yang mempunyai jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan sendiri.

"Mesti ada gabungan parti-parti yang sehaluan dan bersedia bekerjasama demi kepentingan Sabah. Atas dasar itu, kalau saya kata parti kami boleh menang sendiri, orang akan anggap saya berbohong.

"Namun, apa yang penting ialah keperluan untuk kita bekerjasama dengan parti-parti lain yang sehaluan. Itulah yang kami lakukan sebelum ini, dan mudah-mudahan kita dapat terus bekerjasama ke arah itu, sama ada sebelum atau selepas pilihan raya nanti," katanya.

Berikut senarai kerusi dan calon yang diumumkan:

1. DUN Banggi - Rahimah Majid

2. DUN Bengkoka - Berusli Kimin

3. DUN Tanjong Kapor - Muhammad Affan Jumahat

4. DUN Pintasan - Awang Salleh Makmud

5. DUN Sulaman - Tiaminah @ Siti Aminah Ele

6. DUN Pantai Dalit - Mohd Zulkernain Osman

7. DUN Karambunai - Datuk Dr Aliakbar Gulasan

8. DUN Darau - Nabila Norsahar

9. DUN Luyang - Ooi Hong Wee

10. DUN Tanjong Aru - Suhaimi Buang

11. DUN Tanjung Keramat - Farish Adamz Shah @ Kanny

12. DUN Moyog - Francis Mojikon

3. DUN Limbahau - Adrian Alexander

14. DUN Pantai Manis - Faizal Julaili

15. DUN Bongawan - Ridzuan Agus Payong

16. DUN Klias - Mohammad Hisyam Hazaril

17. DUN Kundasang - Dr. Atong Antong

18. DUN Liawan - Johny @ John Anthony

19. DUN Nabawan - Sayau Tangkap

20. DUN Telupid - Jamin Jamri

21. DUN Sugut - Dr. Ronald Kiandee

22. DUN Labuk - Asmad Nasir

23. DUN Gum-Gum - Yunus Nurdin

24. DUN Sungai Manila - Yusri Abu

25. DUN Sungai Sibuga - Norani Asmatil

26. DUN Sekong - Mohd Fazriee Awang

27. DUN Elopura - Mohd Firdaus @ Silvester Abdullah

28. DUN Tanjong Papat - Koa Wei Yang

29. DUN Lamag - Mazlin Madali

30. DUN Sukau - Pengiran Petra Pengiran Asri

31. DUN Silam - Hajah Borkes @ Balkis Kalinggalan

32. DUN Kunak - Kasman Karate

33. DUN Sulabayan - Abdul Malik Abd Bool

34. DUN Bugaya - Jamil Abdul Gapar

35. DUN Balung - Dr. Munzier Mahamud

36. DUN Apas - Lim Ting Khai

37. DUN Kukusan - Francis Lawrence @ Yusop

38. DUN Tanjung Batu - Ahmad Dullah

39. DUN Merotai - Hasan Haris

40. DUN Sebatik - Suhurani Sammani

Ringkasan AI

  • Perikatan Nasional (PN) akan bertanding di 41 dari 73 kerusi DUN Sabah dalam PRN Sabah
  • Ronald Kiandee dan Aliakbar Gulasan antara calon yang akan bertanding menggunakan lambang PN
  • Muhyiddin Yassin menyatakan 33 calon dari Bersatu, lima dari Pas dan tiga dari Gerakan
  • PN yakin pilihan mereka berdasarkan analisis menyeluruh ke atas setiap kawasan DUN
  • Muhyiddin berharap kerjasama dengan parti lain sebagai strategi untuk membentuk kerajaan selepas PRN

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!