Sabah dan pembinaan negara bangsa

Sabah berhak menuntut haknya tetapi hak itu harus dibawa dalam semangat menguatkan federalisme, bukan meruntuhkan kerangka negara. Foto hiasan
Sabah berhak menuntut haknya tetapi hak itu harus dibawa dalam semangat menguatkan federalisme, bukan meruntuhkan kerangka negara. Foto hiasan
A
A
A

SETIAP kali angin pilihan raya Sabah bertiup, isu 40 peratus muncul kembali, seolah-olah menjadi mantera politik yang memecah tumpuan rakyat dan media.

Kadang ia disuarakan sebagai tuntutan hak, kadang sebagai kemarahan kolektif dan kadang menjadi peluru politik yang ditembak rambang.

Ada yang menjaja angka-angka tanpa semakan, ada yang melaungkan ‘pemulangan dana puluhan bilion’ tanpa ada satu pun kertas audit yang boleh disahkan.

Ada juga yang sengaja meniupkan sentimen seolah-olah Sabah perlu ‘bergolak’ dahulu baru haknya dipulangkan.

Inilah yang berbahaya bukan sahaja kepada integriti maklumat tetapi kepada kestabilan negara yang dibina atas asas sejarah yang jauh lebih kompleks daripada slogan-slogan pilihan raya.

Namun isu ini lebih besar daripada angka atau slogan politik, ia adalah ujian sebenar kepada kematangan federalisme Malaysia dan prinsip pembinaan negara bangsa.

Malaysia bukan sekadar gabungan geografi tetapi hasil perjanjian yang mengikat nasib bersama.

Dalam konteks ini, Sabah bukan entiti yang berdiri sendiri tetapi sebahagian daripada projek nasional yang jauh lebih luas.

Sebelum membincangkan hak Sabah hari ini, kita wajar imbas kembali sejarah pembentukan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Sabah dan Sarawak memilih bergabung dengan Tanah Melayu pada tahun 1963 bukan kerana suka-suka tetapi atas faktor keselamatan yang mendesak.

Konfrontasi Indonesia 1963–1966 mengancam wilayah ini, tuntutan Kesultanan Sulu terus berlegar sebagai ancaman dan perebutan perairan Laut China Selatan menjadi isu strategik yang memerlukan koordinasi Pusat dan negeri.

Malaysia lahir sebagai perisai kolektif, satu projek nation-building yang menjaga kepentingan seluruh wilayah ini.

Tanpa Malaysia, Sabah dan Sarawak akan berada dalam kedudukan yang jauh lebih rentan, terdedah kepada tekanan geopolitik dan ancaman luar.

Dalam konteks ini, isu 40 peratus bukan perkara baru. Ia termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, satu komitmen bahawa Sabah berhak menerima sebahagian hasil bersih yang dikutip oleh Persekutuan dari negeri ini.

Keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan semakan kewangan dalam tempoh 90 hari dan penyelesaian dalam 180 hari bukan hadiah politik tetapi perintah undang-undang yang mesti dipatuhi.

Ini adalah bukti bahawa federalisme Malaysia berfungsi, hak negeri diiktiraf tetapi mesti dijalankan dalam kerangka kestabilan negara dan integriti fiskal.

Namun dalam praktik politik hari ini, isu 40 peratus mudah dijadikan alat retorik. Ada pihak yang menggambarkan Sabah sebagai mangsa ‘perompakan fiskal’ dan ada yang mempertahankan status quo dengan alasan ‘Persekutuan sudah banyak membantu’. Kedua-dua naratif itu tidak lengkap.

Keadilan fiskal bukan sekadar menghukum atau memanjakan tetapi memastikan negara berfungsi secara menyeluruh.

Tuntutan negeri mesti disalurkan melalui mekanisme yang sahih, berasaskan audit, rekod tepat dan definisi ‘hasil bersih’ yang jelas bukan dengan angka politik belum disahkan.

Isu ini harus dilihat dalam konteks pembinaan negara bangsa. Malaysia bukan hanya gabungan geografi tetapi projek kolektif yang memerlukan kepercayaan, disiplin politik dan kesetiaan rakyat serta negeri.

Sabah berhak menuntut haknya tetapi hak itu harus dibawa dalam semangat menguatkan federalisme, bukan meruntuhkan kerangka negara.

Pembinaan negara bangsa menuntut setiap negeri berfungsi dalam kesepaduan, hak Sabah adalah hak Malaysia dan kestabilan Malaysia adalah asas kepada kemakmuran Sabah.

Kestabilan politik dan ekonomi juga bergantung kepada cara isu ini dikendalikan. Bayaran balik atau pengiktirafan hak mesti berlaku dalam mekanisme terstruktur supaya projek pembangunan seperti pendidikan, infrastruktur dan bekalan air dapat dirancang secara berkesan.

Sebarang percubaan menunggang isu 40 peratus untuk kepentingan politik semasa boleh merosakkan kepercayaan rakyat kepada institusi, memecahbelahkan persepsi antara negeri dan Persekutuan serta menjejaskan integriti negara.

Sabah adalah Malaysia. Malaysia adalah Sabah. Ini bukan sekadar slogan politik. Ia adalah asas pembinaan negara bangsa yang kukuh.

Akhirnya, isu 40 peratus ini bukan semata-mata perdebatan fiskal atau undang-undang. Sabah berhak menuntut haknya tetapi hak itu mesti diimbangi dengan tanggungjawab terhadap kestabilan dan kemakmuran negara.

Sebab itu, semangat federalisme dan pembinaan negara bangsa harus menjadi teras dalam setiap perbincangan, memastikan Malaysia tetap utuh dan Sabah tetap menjadi sebahagian darinya dengan penuh keyakinan.

*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!