Pilihan raya 'lubuk rezeki' penduduk pedalaman

SOOK - Pilihan raya negeri bukan sekadar tempoh berkempen malah turut menjadi peluang kepada penduduk pedalaman di negeri ini menambah pendapatan keluarga yang selama ini boleh dikatakan ‘cukup-cukup makan’.
Tinjauan sempena kempen Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) di kawasan pedalaman mendapati suasananya bukan sahaja dimeriahkan dengan ceramah, bendera dan poster parti, malah turut menjadi 'lubuk rezeki' kepada penduduk kampung yang mengambil kesempatan membuka meja menjual hasil hutan dan tanaman sendiri setiap kali rombongan calon singgah.
Di Kampung Monggorimot, suasana bertukar seperti mini pesta apabila penduduk membawa keluar sayur hutan, buah-buahan tempatan dan hasil kampung untuk dijual dan setiap kali rombongan kempen tiba, mereka segera dikerumuni penduduk yang teruja membeli hasil segar berkenaan.
Penduduk kampung, Gitom Undal, 66, berkata, kemeriahan kempen pada PRN17 memberi rezeki tambahan yang tidak disangka kepada mereka.
"Inilah masa kami dapat rezeki lebih. Kalau rombongan calon datang, memang laris semua. Hari ini saya bawa lada putih atau nama kampungnya doduong. Orang sini suka masak dengan ikan masin, bunga kantan atau sayur losun. Memang cepat habis," katanya kepada Sinar Harian.

Gitom turut menunjukkan hasil jualan rakan-rakannya yang membawa pucuk rotan atau dikenali sebagai imbalua bagi masyarakat Murut, rambutan dan beberapa jenis sayur liar yang dipetik sendiri dari hutan berhampiran.
"Kami berjualan sama-sama saja. Sesiapa yang ada hasil, bawa keluar buka meja. Yang penting dapat bantu tambah pendapatan sikit, terutama musim kempen begini," katanya.
Menurutnya, menyebabkan penduduk tidak hanya menanti kehadiran rombongan calon untuk mendengar ceramah termasuk calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid, Datin Rufinah Pengeran, tetapi juga melihatnya sebagai peluang melariskan jualan mereka.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di Tamu Pekan Sook di sini pada Ahad pula mendapati suasana lebih meriah apabila jentera daripada pelbagai parti saling bertembung mengedarkan poster serta risalah manifesto masing-masing.

Calon Barisan Nasional (BN) DUN Sook, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup turut berada di sekitar tamu seawal jam 7.30 pagi bagi menyantuni pengundi di kawasan tersebut.
Keadaan tamu yang sememangnya sibuk pada setiap minggu bertambah sesak dengan aktiviti perdagangan antara peniaga dan penduduk setempat, selain kehadiran jentera parti yang turut menyumbang kepada limpahan ekonomi apabila membeli hasil pertanian yang dijual.
Ia diakui seorang peniaga, Mary Lee, 58, yang melihat suasana itu sebagai kelainan berbanding hari pasar biasa.
"Biasanya tidak seramai ini, tetapi dengan pertembungan jentera pelbagai parti, tamu hari ini begitu meriah. Syukur juga kerana mereka bukan hanya datang untuk berkempen tetapi turut membeli hasil pertanian kami," katanya.
Ringkasan AI
- Pilihan raya negeri menjadi peluang penduduk pedalaman menambah pendapatan keluarga
- Penduduk kampung membuka meja menjual hasil hutan dan tanaman sendiri ketika kempen
- Suasana di Kampung Monggorimot bertukar seperti mini pesta dengan penjualan sayur hutan dan buah-buahan tempatan
- Pendapatan tambahan diperolehi penduduk kampung melalui penjualan semasa kempen pilihan raya
- Pertembungan jentera pelbagai parti di tamu mingguan meningkatkan ekonomi lokal dengan pembelian hasil pertanian penduduk setempat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
