Manifesto BN Sabah tumpu isu pembangunan tertunggak - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Manifesto RPS1 di Bangunan UMNO Sabah, pada Sabtu.
Ahmad Zahid ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Manifesto RPS1 di Bangunan UMNO Sabah, pada Sabtu.
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Barisan Nasional (BN) Sabah menggariskan komitmen menyeluruh dalam manifesto baharu mereka dengan memberi tumpuan kepada usaha mengatasi isu pembangunan tertunggak, khususnya melibatkan 'tiga serangkai' yang sekian lama menjadi keluhan rakyat Sabah, iaitu bekalan air, elektrik dan jalan raya.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, manifesto yang dilancarkan hari ini disediakan sepenuhnya oleh BN Sabah dan merangkumi enam tonggak utama yang dirangka bagi memenuhi keperluan semua kelompok rakyat di negeri ini.

"Selain isu tiga serangkai, kita juga melihat bahawa Mahkamah Anak Negeri akan diperkasakan dan jawatannya diserap sebagai jawatan tetap. Ini merupakan satu game changer yang pada hemat saya amat diperlukan rakyat Sabah, dan kerajaan Persekutuan menghormati perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Sabah.

"Keduanya adalah peluang pekerjaan untuk anak muda. Kita dapati bahawa satu bahagian besar kadar pengangguran di Malaysia datangnya dari Sabah. Ini bermakna hampir 20 peratus penganggur di negara ini, iaitu kira-kira 169,000 orang adalah dari Sabah.

"Sebab itu Rancangan Pendidikan melalui ekosistem TVET diberikan penekanan di Sabah supaya lebih banyak peluang pekerjaan untuk anak muda dapat diwujudkan melalui kemahiran yang dibentuk dalam sistem pendidikan TVET," katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Manifesto RPS1 di Bangunan UMNO Sabah, di sini, pada Sabtu

Tambah Ahmad Zahid, usaha untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan pembangunan baharu turut bergantung kepada kesediaan Sabah menarik pelaburan luar dengan penyelesaian isu tiga serangkai tersebut.

"Pelabur dari luar tidak akan datang kalau isu tiga serangkai ini tidak diselesaikan. Itu sebabnya saya yakin BN Sabah sangat bertekad untuk memastikan tiga serangkai ini dapat diselesaikan," katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen BN Sabah untuk mempercepatkan pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di negeri ini, sepertimana yang telah berjaya disiapkan di Sarawak, selain merancang pembangunan Pelabuhan Kudat dan lapangan terbang baharu.

"Di Sarawak, projek itu telah disiapkan. Mereka sangat komited, dan kita mahu melihat Pan Borneo di Sabah diselesaikan dengan segera. Begitu juga Pelabuhan Kudat yang telah dirancang untuk dibangunkan sebagai pelabuhan utama di negeri Sabah sekiranya diberikan mandat dan ini tentunya memerlukan kerjasama daripada kerajaan Pusat untuk membangunkannya.

Artikel Berkaitan:

"Begitu juga lapangan terbang baharu sebagaimana yang telah disebut tadi," katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai keperluan golongan belia yang terkesan dengan keadaan semasa, Ahmad Zahid menekankan perhatian terhadap isu perumahan untuk anak muda.

"Di samping itu, kita melihat perumahan untuk anak-anak muda. Apa yang telah dibentangkan menunjukkan bahawa ini bukan sesuatu yang luar biasa, kerana ia telah mula dilaksanakan, terutamanya untuk keluarga muda yang baru berkahwin dan mempunyai anak kecil.

"Mereka yang sebelum ini terpaksa tinggal di rumah sewa atau bersama ibu bapa kini berpeluang memiliki rumah sendiri melalui konsep sewa untuk milik (rent-to-own), di mana bayaran sewa yang dibayar akan menjadi sebahagian daripada ansuran bulanan bagi memiliki rumah itu kelak.

"Ini merupakan satu perubahan yang signifikan (game changer) baharu," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak supaya meneliti perancangan dengan teliti dan menegaskan janji yang terkandung dalam manifesto BN Sabah yang telah dilancarkannya itu.

Ringkasan AI

  • Barisan Nasional Sabah melancarkan manifesto baru yang menekankan penyelesaian isu pembangunan tertunggak seperti air, elektrik dan jalan raya Manifesto tersebut merangkumi enam tonggak utama untuk memenuhi keperluan rakyat Sabah Perkasa Mahkamah Anak Negeri dan serapan jawatan tetap sebagai langkah penting Menangani masalah pengangguran di Sabah, khususnya di kalangan anak muda Meningkatkan peluang pekerjaan melalui ekosistem pendidikan dan kemahiran TVET

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!