Keselamatan digital tanggungjawab telco

KETIKA Malaysia sedang berperang dengan jenayah siber yang semakin kreatif, ada syarikat telekomunikasi (telco) mahu mengenakan caj tambahan RM10 sebulan kepada pengguna atas nama perlindungan scam.
Tindakan tersebut menimbulkan persoalan kerana siapa sebenarnya perlu menanggung kos keselamatan, telco atau pengguna?
Dalam ekosistem digital hari ini, telco bukan sekadar penyedia talian tetapi mereka juga sepatutnya berperanan kepada keselamatan komunikasi negara.
Mengenakan caj tambahan bukan sahaja tidak wajar, malah bercanggah dengan prinsip tanggungjawab asas penyedia perkhidmatan itu terhadap keselamatan pelanggan yang menggunakan khidmat mereka.
Isunya bukan sekadar pada nilai caj terbabit tetapi pada prinsip, adakah keselamatan pengguna hanya sekadar satu pilihan?
Justeru, langkah mengenakan caj adalah sangat tidak bertanggungjawab dan seolah-olah mengambil kesempatan di atas kesusahan rakyat.
Kebanyakan scam berlaku melalui spoofing nombor telefon, SMS palsu yang menyerupai mesej rasmi dan panggilan VoIP antarabangsa yang disamarkan.
Semua ini berlaku melalui jaringan telco. Logiknya mudah, jika scammer menggunakan infrastruktur telco untuk menipu, telco perlu memikul sebahagian daripada beban untuk mengukuhkan sistem mereka.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) disaran menggunakan kuasanya bagi menghalang telco daripada mengenakan sebarang caj kepada pengguna untuk perkhidmatan perlindungan scam tersebut.
Telco wajib melabur dalam teknologi anti-spoofing, firewall SMS dan penyaringan VoIP. Sebarang perkhidmatan keselamatan tambahan perlu opt-in, bukan dipaksa atau diselit dalam bil.
Menghalang telco daripada mengenakan caj untuk perlindungan scam bukan langkah populis, tetapi langkah rasional.
Scam berlaku kerana kelemahan sistem, bukan kelemahan pengguna semata-mata. Jangan pula keselamatan asas dijadikan komoditi.
Kerajaan perlu tegas. Keselamatan digital ialah tanggungjawab telco, bukan barangan tambahan untuk dijual.
Jika telco benar-benar mahu membantu negara melawan scam, jangan caj rakyat untuk masalah yang bukan mereka cipta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
