Jenayah scam: Ancam keselamatan, kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat

JENAYAH scam atau penipuan dalam talian di Malaysia kini bukan sekadar ancaman digital, tetapi telah menjadi krisis nasional yang mengancam keselamatan, kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Dengan kerugian melebihi RM1 bilion setahun, angka ini bukan hanya mengejutkan, malah berkemungkinan lebih kecil daripada realiti sebenar akibat banyak kes yang tidak dilaporkan.
Lebih meresahkan, mangsa scam bukan tertumpu kepada kelompok tertentu. Suri rumah, pelajar, pesara, penjawat awam, malah usahawan berprofil tinggi turut menjadi korban.
Yang diragut bukan sekadar wang — tetapi juga ketenangan, maruah, keyakinan diri, dan kepercayaan terhadap keselamatan sistem digital negara.
Dalam situasi rakyat terus menjadi mangsa, timbul persoalan besar terhadap pendekatan segelintir syarikat telekomunikasi (telco).
Daripada memperkukuh keselamatan rangkaian secara menyeluruh, terdapat telco yang dilihat lebih menumpukan kepada penawaran servis perlindungan scam secara berbayar kepada pengguna.
Lebih membimbangkan, scammer juga merupakan pengguna rangkaian yang turut menyumbang hasil kepada telco, sekali gus menimbulkan tanda tanya tentang potensi konflik kepentingan.
Langkah penubuhan National Scam Response Centre (NSRC) di bawah PDRM adalah perkembangan yang positif dan wajar diperkasakan.
Namun, Malaysia memerlukan pendekatan lebih tegas dan menyeluruh yang bersifat mencegah, bukan sekadar merawat selepas kerugian berlaku.
Di sinilah peranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) wajib digerakkan secara maksimum. Berpandukan Seksyen 55 dan 56, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, MCMC mempunyai kuasa untuk, menetapkan standard teknikal wajib, mewajibkan sistem pengesanan dan penyekatan panggilan/SMS scam secara automatik dan melaksanakannya tanpa sebarang caj tambahan kepada pengguna.
Sudah tiba masanya isu scam diangkat sebagai ancaman keselamatan ekonomi negara. Kabinet perlu bertindak tegas dengan mewajibkan telco memperkukuh keselamatan rangkaian tanpa kos tambahan kepada rakyat, memperkenalkan penalti berat kepada penyedia perkhidmatan yang gagal mematuhi piawaian keselamatan dan menjadikan perlindungan pengguna sebagai keutamaan nasional, bukan produk komersial.
Rakyat sudah terlalu lama menanggung derita, ketakutan dan kerugian. Mereka tidak memerlukan simpati semata-mata, mereka memerlukan tindakan tuntas dan penyelesaian segera.
Scam bukan lagi isu peribadi mangsa. Ia isu kita sebagai negara. Jika dibiarkan tanpa pembaharuan besar, Malaysia bukan sahaja akan kehilangan wang, malah juga kepercayaan terhadap ekosistem digitalnya sendiri.
*Halim Ibrahim, Nilai, Negeri Sembilan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
