Scam telekomunikasi: Telco wajib bayar pampasan kepada mangsa

SHAH ALAM – Kerajaan perlu memastikan syarikat telekomunikasi (telco) diwajibkan membayar pampasan kepada pengguna yang menjadi mangsa penipuan melalui platform telekomunikasi.
Presiden Pertubuhan Jalinan Sahabat Nusantara (JASANUSA), Samsudin Awang berkata, langkah itu boleh dilaksanakan berdasarkan satu Prosedur Operasi Standard (SOP) yang jelas selepas siasatan lengkap oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, SOP itu penting supaya telco tidak terlepas daripada tanggungjawab apabila berlaku kecuaian sehingga mengakibatkan pengguna mengalami kerugian.
“Cadangan pampasan tersebut adalah langkah paling tepat ketika insiden penipuan dalam talian semakin berleluasa, manakala penggunaan telefon bimbit dalam kalangan rakyat semakin tinggi,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau turut menegaskan tindakan telco mengenakan caj RM10 sebulan untuk perkhidmatan perlindungan scam adalah tidak munasabah dan mencabuli hak pengguna.
“Tindakan ini seolah-olah mahu mengambil kesempatan terhadap rakyat yang sedang berdepan tekanan kos sara hidup.
"Pengguna sudah pun membayar untuk perkhidmatan telekomunikasi yang sepatutnya selamat digunakan,” katanya.
Samsudin berkata, telco yang mengaut keuntungan berbilion ringgit tidak wajar menjadikan ciri keselamatan sebagai produk komersial untuk mengaut lebih banyak keuntungan.
Menurutnya, kerajaan perlu campur tangan dengan mewajibkan telco menanggung pampasan kepada pengguna jika kejadian scam berpunca daripada kecuaian mereka.
Beliau turut menggesa MCMC menambah baik Seksyen 127 dan Seksyen 242 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 supaya tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap telco yang cuai menyediakan perkhidmatan selamat.
“Dengan adanya tanggungjawab pampasan, barulah telco lebih serius mengemas kini keselamatan perkhidmatan mereka,” katanya.
Samsudin kemudian mengibaratkan tindakan mengenakan caj keselamatan itu seperti restoran yang meminta bayaran tambahan hanya untuk menjamin kebersihan makanan, sedangkan ia adalah tanggungjawab asas penyedia perkhidmatan.
Beliau menambah, MCMC perlu memantau dan menyaring model perniagaan syarikat-syarikat telco supaya tiada unsur penindasan terhadap pengguna, apatah lagi ramai individu kini memiliki lebih daripada satu talian telefon.
Katanya, kerajaan dan MCMC tidak boleh terus berdiam diri kerana kes penipuan dalam talian semakin meningkat di era kerajaan Madani.
“Selagi tiada tindakan drastik dan berimpak, selagi itulah rakyat akan terus merana sedangkan telco terus menjana keuntungan berbilion ringgit,” ujarnya.
Menurut beliau, isu kritikal pada masa ini ialah keperluan MCMC melaksanakan sistem perlindungan berpusat melibatkan peranan utama PDRM, seperti diamalkan di beberapa negara maju.
Samsudin turut mencadangkan agar kerajaan mengenakan denda tinggi atau menggantung lesen telco yang gagal mematuhi peraturan keselamatan serta tidak melindungi pengguna.
Selain itu, kerajaan disaran membuka ruang kepada pemberian lesen operasi baharu kepada beberapa syarikat telekomunikasi atau pemain industri yang lebih mesra pelanggan bagi membendung unsur monopoli pasaran.
Katanya, langkah pembaharuan ini mampu mewujudkan persaingan lebih sihat dalam sektor telekomunikasi negara sekali gus memastikan hak dan keselamatan pengguna terus terpelihara.
Ringkasan AI
- Kerajaan perlu memastikan syarikat telekomunikasi membayar pampasan kepada mangsa penipuan
- SOP perlu dibangunkan selepas siasatan SKMM dan PDRM untuk mengelak telco terlepas tanggungjawab
- Caj RM10 sebulan untuk perlindungan scam oleh telco dianggap tidak munasabah
- Kerajaan dan SKMM harus campur tangan dalam isu keselamatan perkhidmatan telekomunikasi
- Saranan untuk mengenakan denda tinggi atau gantung lesen telco yang tidak melindungi pengguna dan membuka ruang kepada pemain industri baru
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

