Apa sahaja demi Nik Iman

Zarina menunjukkan Chemo Port yang dipasang pada dada Nik Amin untuk rawatan penyakit leukimia yang dihadapi.
Zarina menunjukkan Chemo Port yang dipasang pada dada Nik Amin untuk rawatan penyakit leukimia yang dihadapi.
A
A
A

BERDANG - Memiliki anak yang diuji dengan masalah kesihatan benar- benar menguji kesabaran setiap ibu bapa lebih-lebih lagi dalam keadaan pendapatan yang tidak seberapa.

Bagi seorang ibu di sini, Zarina Ariffin, 43, penyakit leukimia yang dideritai anak bongsunya, Nik Iman Nik Kamarudin, 7 benar- benar menuntut kesabaran dan kecekalan hatinya.

"Bila kita ada anak yang sakit macam ni, memang kalau boleh kita tak nak hampakan setiap permintaannya, kak juga sama, sedaya upaya cuba tunaikan kehendak Nik Iman walaupun dalam kepayahan.

"Kak dan suami nak tengok Nik Iman gembira, tak mahu ada perasaan bersalah padanya, sebab itu segala yanh dia mahu kami akan tunaikan," katanya

ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Mengulas mengenai penyakit dihidapi anak lelakinya itu, Zarina berkata, pada mulanya Nik Imankerap demam iaitu beberapa kali dalam sebulan sebelum bengkak di pergelangan kaki kanannya berjaya dikesan.

"Ujian darah selepas itu sahkan Nik Iman menghidap leukimia saraf pada 2014.

Tiada kata- kata mampu diungkapkan. Hanya air mata peneman setia mengenangkan nasib anak yang baru berusia dua tahun ketika itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tiga bulan mereka berkampung di hospital ketika itu untuk rawatan Nik Iman sebelum mula menjalani rawatan kimoterapi pada 2015.

"Mula-mula tiga kali seminggu Nik Iman perlu kimoterapi, memang terlalu sedih melihat keadaannya ketika itu, tapi kini selepas beberapa tahun rawatan kimo dibuat sebulan sekali," katanya.

Dia berkata, lebih menyedihkan apabila kehidupan mereka ketika itu juga ibarat kais pagi makan pagi dengan hanya bergantung kepada pendapatan suami, Nik Kamarudin Raja Husin, 45 yang bekerja di kilang papan berhampiran dengan pendapatan sebanyak RM1,000 sebulan.

Tambahnya, memang tak mencukupi lebih-lebih lagi memikirkan kos untuk rawatan Nik Iman serta perbelanjaan lima dari tujuh anak yang masih di alam persekolahan.

"Dua tahun saya ulang alik dari Jeli ke Tanah Merah, kemudian Tanah Merah ke Kota Bharu sebelum sampai di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dengan bas setiap kali Nik Iman perlukan rawatan, walaupun payah, tapi demi melihat Nik Iman sihat, kak sanggup buat apa sahaja," katanya.

Zarina berkata, Nik Iman ada menerima bantuan sebanyak RM200 sebulan daripada Majlis Kanser Negara (MAKNA) dan ia digunakan untuk kos rawatannya setiap bulan.

"Untuk tenaga dan antibodi yang lebih kuat, kak perlu sediakan lapan tin susu dari jenama PediaSure untuk Nik Iman yang menelan perbelanjaan hampir RM400 sebulan," katanya.

Zarina berkata, dengan pendapatan keluarga yang tidak seberapa, jumlah tersebut begitu tinggi bagi mereka.

"Saya turut buat kueh mueh untuk tempahan sekolah dan kedai kopi bagi menampung pendapatan suami serta persediaan jika Nik Iman perlu jalani kimoterapi," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin memyumbang boleh menyalurkannya ke akaun BSN Zarina Ariffin 0300241000097217 atau menghubunginya di talian 01125733212.