Kematian kadet Palapes UiTM: Mahkamah tolak permohonan gali semula kubur Muhammad Amir

Muhammad Amir Rusyaidi.
Muhammad Amir Rusyaidi.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menolak permohonan seorang bapa supaya kubur Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Allahyarham Muhammad Amir Rusyaidi Muhamad Zaidi, yang meninggal dunia setahun lalu, digali semula.

Hakim, Roszianayati Ahmad memutuskan demikian selepas mendapati tiada percanggahan berhubung punca kematian arwah ketika kejadian berusia 26 tahun, sehingga memerlukan pusara itu digali dan jasadnya dibedah buat kali kedua.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permintaan bapa arwah, Muhamad Zaidi Abdul Rahman, 53, selaku pemohon, supaya inkues dijalankan dengan mengarahkan pihak polis membuka semula siasatan.

Hakim berkata, mereka perlu melantik seorang pegawai penyiasat baharu dari Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman untuk mengambil alih tugas daripada pegawai penyiasat terdahulu.

“Siasatan perlu diselesaikan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh perintah ini, termasuklah merakam percakapan saksi-saksi yang telah mengikrarkan afidavit dalam kes ini.

“Laporan siasatan berkenaan juga perlu diserahkan kepada pihak pendakwa raya dengan segera,” katanya ketika membaca keputusan penghakiman.

Roszianayati berkata, sebelum ini pemohon meminta penjelasan berhubung perkara yang membawa kepada kematian anak sulung daripada empat beradik terbabit.

Menurutnya, pemohon yang juga seorang guru sekolah menengah bagi mata pelajaran bahasa Melayu dan Sejarah itu juga telah membuat laporan polis, aduan dan menulis kepada Ketua Polis Negara (KPN) dan Peguam Negara (AG) selaku responden.

Katanya, ia termasuk pertanyaan kepada dua responden itu peguamnya mengenai siasatan kes kematian si mati, namun hanya mendapat jawapan yang mengecewakan.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, beliau memerintahkan AG dan pendakwa raya menjalankan kuasanya di bawah Seksyen 339 Kanun Tatacara Jenayah agar satu inkues diadakan bagi menyiasat kematian pemuda berkenaan.

“Aduan utama dalam permohonan ini adalah berkenaan apa yang menyebabkan kematian si mati.

“Perkara itu termasuk cara si mati meninggal dunia, sama ada disebabkan atau dipercepat oleh apa-apa perbuatan atau kecuaian mana-mana pihak.

“Affidavit yang difailkan juga mengandungi fakta dan tuduhan yang hanya boleh dijelaskan melalui siasatan oleh pihak polis dan inkues terbuka dijalankan,” katanya.

Dalam pada itu menyentuh keputusan yang menolak kubur arwah digali semula, hakim ini berkata, perkara berkenaan dibuat memandangkan punca kematian si mati telah dikenal pasti melalui pemeriksaan dan rawatan oleh beberapa doktor di Hospital Shah Alam.

Katanya, mereka telah mengikrarkan afidavit dan mengesahkan sebab kematian disebabkan strok haba yang membawa kepada kegagalan beberapa organ.

Menurutnya, tidak dipertikaikan bahawa si mati dibawa ke hospital berkenaan pada jam 5 petang 10 November 2024 namun meninggal dunia jam 2 pagi tiga hari kemudian.

Semasa rawatan, beliau berkata, pelbagai pemeriksaan dan ujian klinikal telah dijalankan terhadapnya dengan hasil ujian menunjukkan si mati dalam keadaan nyahhidrat yang teruk sehingga melibatkan organ dalaman yang lain.

Beliau menambah, doktor juga mengatakan tiada sebarang kecederaan fizikal lain yang ditemui melainkan kesan merah di lutut yang mana ia tidak membawa kepada kematian si mati.

“Justeru, tiada keperluan jasad si mati digali dan bedah siasat dijalankan kerana sebab kematian telah dikenalpasti,” katanya.

Pelajar UiTM itu dilaporkan pengsan semasa menyertai sesi latihan di padang kawad pada 10 November 2024, sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan tetapi meninggal dunia tiga hari kemudian.

Meskipun mahkamah menolak permohonan penggalian semula kubur, keluarga arwah bersyukur kerana inkues siasatan kematian anaknya itu akan dijalankan dengan segera.

Ibu, Azwati Muhammed Ghalip, 53, bersyukur dengan keputusan mahkamah berhubung siasatan baharu itu, kerana ia sedikit sebanyak memberi keadilan untuk anak sulungnya.

“Sebelum ini, ahli keluarga diberitahu mengenai punca arwah meninggal tetapi sekarang kami mahu mengetahui keadaan yang membawa dia terkena strok haba.

“Keputusan membenarkan inkues ini amat melegakan dan saya puas hati sekurang-kurangnya ada perkembangan yang membawa kepada jawapan kepada persoalan yang kami mahu ajukan,” katanya ketika ditemui di luar Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis.

Dia yang juga guru di sebuah sekolah rendah di Banting berkata, tindakan susulan akan dimaklumkan selepas berbincang dengan barisan peguamnya.

Dalam prosiding ini, Muhamad Zaidi hadir dengan diwakili peguam, Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) selaku responden pertama pula oleh Peguam Kanan Persekutuan, Nurul Huda Mohd Salehuddin dan Nur Syahidah Mohamad Kamil manakala AGC (responden kedua) oleh Pengarah Pendakwaan Selangor, Datin Kalmizah Salleh.

Pada 29 Ogos lalu, Muhamad Zaidi memfailkan notis usul supaya mahkamah mengeluarkan perintah supaya kedua-dua responden supaya menggali semula kubur Muhammad Amir Rusyaidi.

Ia bagi membolehkan bedah siasat kedua dapat dijalankan dan lengkap dengan laporan bagi menyatakan punca sebenar kematian si mati, yang telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Firdaus Kampung Sungai Lang Banting di sini pada 13 November 2024.

Bapa arwah juga meminta pihak polis melantik pasukan baharu menjalankan siasatan kematian dan menjalankan inkues bagi menyiasat punca kematiannya.

Ringkasan AI

  • Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan penggalian semula kubur Muhammad Amir Rusyaidi kerana punca kematian telah dikenal pasti
  • Mahkamah membenarkan permintaan untuk menjalankan inkues dan membuka semula siasatan kematian
  • Kematian disebabkan strok haba yang membawa kepada kegagalan beberapa organ tanpa sebarang kecederaan fizikal lain
  • Keluarga arwah bersyukur dengan keputusan mahkamah yang membenarkan inkues
  • Inkues diarahkan untuk diselesaikan dalam tempoh tiga bulan dan laporan siasatan perlu diserahkan kepada pendakwa raya segera

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!