Hukum gali semula kubur

WALAUPUN jenazah sudah dikebumikan, namun terdapat keadaan tertentu yang memerlukan kubur digali semula kerana keperluan mendesak.
Antaranya termasuk untuk membantu siasatan atau merungkai punca kematian.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, pada asasnya, hukum menggali semula kubur untuk mengeluarkan jenazah adalah haram kerana dianggap mencemar kehormatan si mati.
Larangan itu berdasarkan hadis Rasulullah SAW: “Mematahkan tulang orang yang telah mati adalah seperti mematahkan tulangnya ketika masih hidup.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Jelas pejabat mufti itu, larangan tersebut merangkumi perbuatan membongkar kubur yang diharamkan oleh Nabi Muhammad SAW sebagaimana hadis yang melaknat lelaki dan perempuan yang melakukannya tanpa sebab syarie.
Bagaimanapun, hukum itu berubah jika wujud darurah atau keperluan mendesak yang tidak dapat dielakkan sebagaimana pandangan Mazhab Syafie.
“Antara situasi keperluan yang dikategorikan sebagai darurat atau keperluan yang mendesak sehingga diharuskan untuk menggali kubur adalah memandikan mayat yang belum dimandikan, menghadapkan mayat ke arah kiblat dan mengambil harta yang terjatuh ke dalam liang lahad.

“Begitu juga dengan situasi menyelamatkan bayi dalam kandungan yang masih hidup atau apabila jenazah dikebumikan di tanah curi dan dikhuatiri kuburnya akan dibongkar oleh pihak lain,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Irsyad Hukum Siri ke-922: Hukum menggali semula jenazah yang telah dikebumikan untuk tujuan post-mortem yang disiarkan di laman web rasmi pejabat mufti berkenaan pada Ahad.
Dalam konteks fatwa di negara ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-61 memutuskan bahawa:
1. Harus menggali semula tanah perkuburan sekiranya terdapat keperluan yang mendesak atau darurat dengan sebab-sebab tertentu yang diharuskan oleh syarak.
2. Harus menggali semula tanah perkuburan untuk digunakan bagi mengebumikan mayat yang baru setelah dikenal pasti oleh pihak berkuasa bahawa mayat itu telah pun reput.
Melihat kepada hujah itu, jelas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, menggali semula jenazah yang ditanam atas keperluan mendesak seperti keperluan bedah siasat bagi mengesahkan sesuatu yang penting yang hanya didapati dengan cara tersebut adalah diharuskan jika mendapat keizinan daripada pihak berautoriti.
“Ini kerana kaedah fiqh menyebut bahawa keadaan yang darurat mengharuskan perkara yang pada asalnya haram,” tulis artikel berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
