Stabiliti perkara asas pastikan tiada kelewatan projek melibatkan 'tiga serangkai'-Yamani

SIPITANG - Masalah infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik yang berulang di Sindumin terus menjadi kegusaran utama penduduk, khususnya apabila ada sebahagian projek dilihat bergerak perlahan dan tidak disiapkan mengikut jadual.
Menurut calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Sindumin, Datuk Yamani Hafez Musa, kelewatan itu berpunca daripada ketidakstabilan pentadbiran yang menyebabkan sebahagian projek perlu diulang prosesnya setiap kali berlaku perubahan kerajaan.
Katanya, projek-projek yang sepatutnya terus bergerak sering terjejas apabila kerajaan baharu mengambil alih dan perlu memulakan semula proses penilaian, penyelarasan serta pelantikan pihak teknikal yang terlibat.
"Masalah infrastruktur asas ini, tiga serangkai, jalan, air dan elektrik ini memang adalah masalah bukan saja di Sindumin tapi juga di Sabah.
"Saya rasa contoh ini sangat penting bagi masyarakat di Sindumin bahawa stabiliti adalah perkara asas untuk memastikan tidak ada kelewatan projek dan sudah tentu yang paling penting ialah memastikan kerajaan yang sedia ada ini untuk terus mentadbir negeri.
"Supaya tidak ada gangguan daripada mentadbiran baharu yang mungkin perlu memulakan dari mula atau mempunyai pengetahuan yang kurang tentang sejarah projek-projek ini dan ia boleh mengganggu gugat dari segi jadual kelengkapan projek," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.
Bekas Timbalan Menteri Kewangan itu berkata, permintaan terhadap pembangunan semakin meningkat dan memerlukan penyelarasan yang konsisten, bukan disambung-separa setiap kali berlaku perubahan kepimpinan.
"Sebab itulah saya ingin beri penekanan kepada masyarakat Sindumin berapa pentingnya tempat kita ini, parti kita ini, PH memainkan peranan sebagai jambatan di antara Sabah dan Putrajaya di mana kita ingin pastikan peruntukan daripada Persekutuan juga dapat kita zahirkan di sini.
"Kerana saya merasakan peruntukan di negeri sahaja tidak mencukupi melihat dengan pembangunan dan permintaan yang makin lama, makin besar dan meninggi.
Tegasnya, apa yang lebih penting sekarang ialah memastikan projek asas yang tertangguh dapat dipercepatkan tanpa lagi terheret dengan perubahan pentadbiran yang berulang.
Untuk rekod, jalan yang menghubungkan Sipitang ke Beaufort merupakan laluan utama bagi penduduk di dua daerah tersebut dan terlibat dalam pembinaan Lebuhraya Pan Borneo sejak lapan tahun lalu.
Bagaimanapun, sehingga kini, jalan tersebut masih belum siap sepenuhnya dan beberapa isu termasuk jalan tidak berturap dan berlubang menjadi rungutan pengguna jalan raya termasuk dari Sarawak dan negara jiran, Brunei yang sering menggunakan laluan tersebut untuk masuk ke Sabah.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa jentera Barisan Nasional (BN) enggan digerakkan untuk membantunya pada PRN kali ini, beliau berkata, situasi pada pilihan raya kali ini sedikit berbeza berikutan wujudnya gabungan lebih besar melibatkan PH, BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
"Jentera kali ini agak unik sikit kerana ada gabungan secara umum tiga parti ini iaitu PH, BN dan GRS. Namun dengan kenyataan baru-baru ini, BN mungkin ada sedikit masalah teknikal untuk bergabung.
"Tetapi apa yang saya boleh ungkapkan di sini bahawa kerjasama di antara jentera BN dan GRS berjalan dengan lancar dan bukan juga semua jentera BN menghadapi apa-apa masalah dengan jentera gabungan ini. Saya percaya mereka juga ingin menyertai.
"Cuma mungkin mereka ada sedikit sangsi ataupun risau dengan surat yang dikeluarkan oleh kepimpinan dan kita menghormati apa juga keputusan yang dibuat oleh jentera parti komponen kita," jelasnya.
Ringkasan AI
- Masalah infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik di Sindumin menjadi kegusaran utama penduduk
- Ketidakstabilan pentadbiran menyebabkan projek berulang kali perlu diulang proses
- Kelewatan projek berpunca dari perlu memulakan semula proses penilaian dan pelantikan pihak teknikal dengan pertukaran kerajaan
- Datuk Yamani Hafez Musa menekankan pentingnya stabiliti untuk mengelakkan kelewatan projek dan memastikan pembangunan berterusan
- Jalan menghubungkan Sipitang ke Beaufort masih belum siap sepenuhnya meskipun terlibat dalam pembinaan Lebuhraya Pan Borneo sejak lapan tahun lalu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
