Kerajaan Sabah perlu pendekatan radikal atasi isu ‘tiga serangkai’ – Ruji Ubi

Ruji ketika bersama rakyat di kawasan DUN Merotai.
Ruji ketika bersama rakyat di kawasan DUN Merotai.
A
A
A

KOTA KINABALU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, Datuk Ruji Ubi berpandangan bahawa kerajaan negeri yang bakal dibentuk selepas 29 November ini perlu mengambil pendekatan lebih radikal untuk menyelesaikan isu 'tiga serangkai' melibatkan bekalan air, elektrik dan jalan raya.

Bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu berkata, pendekatan tradisional yang bergantung kepada permohonan melalui Rancangan Malaysia atau Rolling Plan setiap tahun tidak lagi mencukupi untuk mengatasi masalah berkenaan.

“Kita tidak boleh lagi menggunakan kaedah biasa iaitu dengan memohon melalui Rancangan Malaysia ataupun melalui Rolling Plan yang dimohon setiap tahun.

“Tetapi kaedah untuk menyelesaikannya perlu dilihat secara holistik berapa sebenarnya keperluan sebenar bajet untuk membaiki keadaan jalan raya, selain daripada projek Pan Borneo yang sedia ada untuk tempoh lima ke 10 tahun akan datang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Menurutnya, langkah penyelesaian hanya dapat dilakukan apabila jumlah sebenar keperluan kewangan dan panjang keseluruhan jaringan jalan raya di Sabah dikenal pasti terlebih dahulu.

“Jadi, bila kita sudah tahu jumlah bajet yang diperlukan dengan panjang jalan raya, sama ada jalan persekutuan, jalan negeri mahupun jalan kampung maka kita boleh membuat perancangan peruntukan sama ada untuk dilaksanakan dalam jangka masa sederhana atau jangka masa panjang,” katanya.

Tambah beliau, aspek pelaksanaan juga perlu diperbaharui kerana kaedah sekarang tidak lagi sesuai untuk menangani isu asas rakyat itu.

“Yang keduanya, dari segi pelaksanaan, saya rasa kaedah melaksanakan isu berkaitan jalan, elektrik dan juga air di Sabah ini tidak boleh lagi menggunakan kaedah sekarang.

“Saya merasakan pendekatan radikal dan berani yang perlu diambil ialah melalui penubuhan satu entiti khas, mungkin jawatankuasa atau perbadanan infrastruktur awam Sabah yang kemudiannya boleh dibahagikan untuk melaksanakan isu berkaitan air, jalan raya dan elektrik.

Artikel Berkaitan:

“Dari segi pelaksanaan, saya rasa ini lebih berkesan, sebagaimana kita menggunakan kaedah sama dalam melaksanakan projek MRT di Lembah Klang dan juga Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Jadi, wujud satu institusi atau badan khas yang ditubuhkan untuk melaksanakan projek sebesar itu. Malah sebelum ini, projek Pan Borneo juga menggunakan pendekatan serupa iaitu Project Delivery Partner (PDP),” katanya.

Ruji turut menegaskan bahawa penyelesaian jangka sederhana dan panjang memerlukan keberanian politik serta struktur pentadbiran baharu.

Menurut beliau, pendekatan kedua berkait rapat dengan penubuhan entiti khas bagi melaksanakan projek infrastruktur secara lebih tersusun dan berkesan.

“Jadi perkara kedua yang ingin saya sebut, sekiranya kita mahu mengatasi isu tiga serangkai ini dalam tempoh sederhana dan jangka panjang yang lebih radikal serta berani, kita boleh guna 'special purpose vehicle'  iaitu satu perbadanan atau agensi khusus untuk melaksanakannya.

“Saya rasa pendekatan ini harus diambil secara holistik oleh kerajaan baharu selepas 29 November, dan ia mesti melibatkan semua pihak berkepentingan dalam pelaksanaannya.

“Sekiranya melibatkan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan serta masyarakat setempat, semua ini perlu terlibat. Kalau ini dapat dilakukan, kita akan dapat menyelesaikan isu tiga serangkai dengan lebih menyeluruh,” ujarnya.

Ruji yakin sekiranya ketiga-tiga pendekatan ini dilaksanakan secara konsisten, isu asas rakyat itu mampu diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Saya yakin Sabah akan dapat mengatasi isu tiga serangkai ini dalam tempoh jangka sederhana menjelang 2030 dan jangka panjang menjelang 2035,” katanya.

Ringkasan AI

  • Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Merotai, Datuk Ruji Ubi, mencadangkan pendekatan radikal dalam menangani isu bekalan air, elektrik dan jalan raya di Sabah
  • Kaedah tradisional melalui Rancangan Malaysia atau Rolling Plan disifatkan tidak mencukupi lagi
  • Pendekatan baru mencakupi penubuhan satu entiti khas untuk melaksanakan projek-projek infrastruktur seperti air, jalan raya dan elektrik
  • Ruji menekankan keperluan untuk mengetahui jumlah sebenar keperluan kewangan dan panjang keseluruhan jaringan jalan raya di Sabah sebelum melaksanakan projek
  • Pendekatan ini memerlukan keberanian politik dan penglibatan semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, dan masyarakat setempat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!