Calon PH, PN ada strategi tersendiri selesai krisis 'tiga serangkai' di Tawau

TAWAU – [KEMAS KINI] Isu bekalan air yang membelenggu daerah ini sejak puluhan tahun kembali mengangkat persoalan besar dalam laporan Sinar Harian berkaitan isu ‘tiga serangkai’, yang dilihat sebagai satu kelemahan infrastruktur dan akhirnya membentuk tekanan ekonomi, seterusnya membebankan rakyat.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Sri Tanjong, Philip Yap Wui Lip, menyifatkan masalah air di Tawau sebagai contoh paling jelas bagaimana satu rantaian isu, kerapuhan sistem, projek tertangguh dan penyelenggaraan yang tidak menyeluruh akhirnya menjadikan kehidupan harian rakyat tidak stabil.
Beliau berkata, rakyat bukan meminta kemewahan, hanya menginginkan rutin harian yang teratur, termasuk bekalan air bersih yang konsisten.
Bagi Philip, inilah perjuangan yang ingin dibawanya iaitu penyelesaian praktikal, realistik serta berpaksikan rakyat dan bukan sekadar slogan.
"Sewaktu turun ke komuniti setiap hari, soalan paling kerap yang saya dengar ialah, ‘Philip, bila kita boleh berhenti daripada masalah tiada air? Ini bukan rungutan, tetapi rintihan paling jujur daripada warga Tawau," katanya.
Menurutnya lagi, masalah air tidak muncul dalam sehari dan agak mustahil diselesaikan dengan retorik.
"Ia menuntut pemahaman terhadap punca sebenar dan keupayaan melaksanakan pembetulan yang menyeluruh," katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa dalam rangka memperkukuh ‘tiga serangkai’ berkenaan, penyelesaian struktur seperti Empangan Tawau dan Loji Rawatan Air Cinta Mata 2 merupakan tulang belakang jangka panjang.
"Kedua-dua projek ini, jika berjalan mengikut jadual, diyakini mampu memperbaiki kualiti hidup penduduk secara menyeluruh.
"Saya akan terus memantau pelaksanaannya dan memastikan setiap perkembangan dimaklumkan kepada rakyat," katanya.
Beliau dalam pada itu turut mendedahkan bahawa sebahagian besar paip utama di Tawau berusia lebih 30 tahun, sering bocor dan menjadi punca gangguan berulang.
"Penyelesaian tidak boleh hanya tertumpu kepada pembaikan, tetapi memerlukan penggantian paip secara berperingkat," jelasnya.
Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Balung, Dr Munzier Mahamud turut menekankan isu ‘tiga serangkai’ dengan menjadikan peningkatan kualiti infrastruktur asas sebagai tunjang utama perjuangannya.
Menurut anak jati Tawau itu, kawasannya tidak terkecuali daripada berdepan cabaran infrastruktur seperti jalan sempit, tekanan air tidak stabil, dan bekalan elektrik yang kerap terganggu di beberapa lokaliti.
Sehubungan itu, beliau yang juga merupakan doktor perubatan mahu menjadikan penambahbaikan kemudahan ini sebagai misi utama sekiranya diberi mandat.
"Peningkatan kualiti jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik adalah sebahagian daripada lima misi utama yang dirangka untuk mengangkat Balung ke tahap pembangunan lebih stabil dan progresif.
"Kita juga mahu menyediakan akses pendidikan berkualiti, latihan kemahiran dan memberi sokongan penuh terhadap pembelajaran masyarakat setempat," katanya.
Dr Munzier turut menekankan kepentingan tadbir urus yang telus dan berintegriti dengan memastikan kerjasama erat antara agensi kerajaan dan komuniti dapat diperkukuh, supaya isu ‘tiga serangkai’ dapat ditangani dengan lebih berkesan dan menyeluruh.
Ringkasan AI
- Isu bekalan air di Tawau menunjukkan kelemahan infrastruktur yang memberi tekanan ekonomi kepada rakyat
- Philip Yap Wui Lip menyifatkan masalah air di Tawau sebagai contoh isu sistemik dengan projek tertangguh dan penyelenggaraan tidak menyeluruh
- Rakyat Tawau mengharapkan bekalan air bersih yang konsisten untuk menjalani kehidupan harian
- Philip menekankan penyelesaian praktikal termasuk pembinaan Empangan Tawau dan Loji Rawatan Air Cinta Mata 2 untuk menyelesaikan isu bekalan air
- Paip utama di Tawau berusia lebih 30 tahun, sering bocor dan perlu diganti untuk mengatasi masalah bekalan air
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
