Projek lambat siap, PIC jelas punca kelewatan Projek Pakej 2

GEORGE TOWN - Penang Infrastructure Corporation (PIC) menjelaskan punca kelewatan Projek Pakej 2: Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam susulan kekeliruan orang ramai berhubung tarikh siap baharu yang kini ditetapkan pada 12 April 2027.
Dalam kenyataan rasminya, PIC memaklumkan bahawa lanjutan masa atau Extension of Time (EOT) hanya diluluskan setelah kontraktor membuktikan kelayakan berdasarkan fakta, bukti teknikal dan syarat kontrak yang berkuat kuasa.
Menurut PIC, projek yang kini mencapai kemajuan 87 peratus itu menerima dua kelulusan EOT selepas proses penelitian rapi oleh Jawatankuasa Lanjutan Masa bagi memastikan setiap permohonan adalah berasas dan munasabah.
"Lanjutan masa akan dipertimbangkan dan diluluskan sekiranya kontraktor membuktikan kelayakan mengikut kehendak kontrak apabila sebab kelewatan adalah berasaskan fakta dan selaras dengan peruntukan kontrak yang berkuat kuasa," katanya pada Jumaat.

Tambah PIC, EOT 1 diluluskan pada 30 Oktober 2023 berikutan kerja tapak tidak dapat dimulakan akibat proses pengambilan balik tanah (PBT) di laluan utama.
"Lanjutan ini selaras dengan Klausa 49.1(g) kontrak berkaitan kelewatan pemberian pemilikan tapak menjadikan tarikh siap baharu ketika itu pada 31 Oktober 2026.
"EOT 2 pula diluluskan pada 16 Jun 2025 selepas berlaku kelewatan dalam penerimaan Kebenaran Memulakan Kerja (KMK) bagi Seksyen 6 yang memerlukan penilaian teknikal Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Lanjutan ini mematuhi Klausa 49.1(f) kontrak dan mengubah tarikh siap projek kepada 12 April 2027," ujarnya.
Kata PIC lagi, kedua-dua lanjutan masa itu telah dipersetujui Jawatankuasa Lanjutan Masa dan dibentangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah pada 29 Julai 2025 sebagai makluman rasmi kepada semua pihak berkepentingan.
"Komitmen untuk menyelesaikan baki kerja dan memastikan Projek Jalan Pintasan Pakej 2 dapat disiapkan mengikut jadual baharu tersebut," jelasnya.
Projek Pakej 2: Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam merupakan salah satu projek di bawah Komponen Jalan-Jalan Utama dan Laluan Ketiga (PMRT) dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang telah bermula sejak tahun 2021 bagi Seksyen 1 dan tahun 2022 bagi Seksyen 2 hingga Seksyen 6.
Setelah siap kelak, jalan raya bebas tol sepanjang 5.7 kilometer yang menghubungkan Bandar Baru Ayer Itam dan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu itu akan memendekkan waktu perjalanan daripada 40 minit ke sekitar 5 minit.
Projek tersebut dilaksanakan oleh Consortium Zenith Construction (CZC) dengan kendalian PIC melibatkan pembinaan tiga persimpangan bertingkat iaitu di Lebuhraya Thean Teik, Jalan Bukit Gambir-Jalan Sultan Azlan Shah serta Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu yang merangkumi persimpangan masuk-keluar kiri dan pusingan U bertingkat.
Ringkasan AI
- Projek Pakej 2: Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam kini dijadualkan siap pada 12 April 2027
- Penang Infrastructure Corporation (PIC) menjelaskan kelewatan adalah disebabkan keperluan pembuktian kelayakan oleh kontraktor untuk lanjutan masa
- Dua kelulusan Extension of Time (EOT) diberikan selepas penelitian yang pertama disebabkan oleh proses pengambilan balik tanah dan kedua kerana kelewatan dalam penerimaan Kebenaran Memulakan Kerja
- Setelah siap, jalan raya bebas tol itu akan memendekkan waktu perjalanan dari 40 minit ke sekitar 5 minit
- Projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang tersebut melibatkan pembinaan tiga persimpangan bertingkat dan dilaksanakan oleh Consortium Zenith Construction
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

