Polemik durian: Siapa lebih layak?

CADANGAN Persatuan Pengilang Durian (DMA) agar durian diangkat sebagai buah kebangsaan Malaysia mencetuskan perdebatan baharu di rantau ini apabila Indonesia tampil mempertahankan bahawa republik itu mempunyai asas lebih kukuh untuk gelaran berkenaan.
Menteri Penyelaras Urusan Pangan Indonesia, Zulkifli Hasan berkata, pengeluaran durian negara itu pada 2024 jauh mengatasi Malaysia, menurut data Badan Pusat Statistik (BPS).
Di Malaysia, DMA berhujah bahawa beberapa varieti premium tempatan seperti musang king, black thorn dan D24 sudah menjadi jenama global, menjadikan Malaysia antara pengeluar durian berkualiti tinggi dunia.
Malah, peranan industri durian dalam ekonomi domestik serta permintaan tinggi dari China dijadikan sandaran untuk mengangkat durian sebagai lambang kebangsaan.
Namun, dari sudut serantau, perselisihan mengenai siapa yang lebih 'layak' menobatkan durian sebagai buah kebangsaan sebenarnya tidak membawa sebarang manfaat jangka panjang.
Durian telah wujud dan berkembang jauh sebelum sempadan moden Malaysia-Indonesia terbentuk.
Ia tumbuh secara semula jadi di kawasan yang kini dikenali sebagai Nusantara, iaitu merentasi Semenanjung Malaysia, Sumatera, Kalimantan, Sulawesi hingga ke Borneo.
Dari perspektif sejarah dan biodiversiti, durian bukan warisan eksklusif mana-mana negara, tetapi milik ekologi serantau.
Setiap kawasan menyumbang kepada kepelbagaian genetik, kaedah penanaman, inovasi varieti serta budaya yang membentuk identiti durian hari ini.
Justeru, dakwaan pemilikan tunggal hanya menafikan realiti bahawa durian berkembang hasil interaksi ekosistem dan masyarakat Nusantara secara kolektif.
Isu ini juga perlu dilihat melalui lensa diplomasi. Perebutan simbol budaya antara negara jiran bukan perkara baharu, namun ia sering mencetuskan sentimen nasionalis yang akhirnya merenggangkan hubungan rakyat dua negara.
Akhirnya, perdebatan tentang buah kebangsaan tidak seharusnya berakhir sebagai pertikaian tentang siapa lebih berhak.
Durian bukan sekadar komoditi atau identiti negara, tetapi sebahagian daripada warisan bersama rantau ini.
Memahami hakikat itu bukan sahaja membantu meredakan ketegangan, malah membuka jalan kepada diplomasi serantau yang lebih matang dan bermanfaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

