Kerja-kerja tanah KB Sentral naik RM14 juta, perbelanjaan terkawal

KOTA BHARU - Kerja-kerja tanah projek pembinaan Projek Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral (KB Sentral) naik kepada RM14 juta berbanding RM8 juta hingga RM12 juta sebelum ini.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan bagaimanapun berkata, perbelanjaan itu masih lagi dalam kawalan.
"Jumlah ini merangkumi rawatan dan kerja-kerja tanah di kawasan berkenaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat Exco di sini pada Rabu.
Menurut beliau, rawatan tanah ini bertujuan memastikan kawasan tersebut stabil dan kukuh.
Katanya, sementara kerja-kerja tanah merangkumi sistem saliran, tambun serta penggantian tanah asal kepada yang baharu.
Sinar Harian pada 24 Jun lalu melaporkan, pembinaan KB Sentral di Tunjong di sini yang tertangguh hampir dua tahun sebelum ini akan bermula bulan depan.
Menurut Timbalan Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Saizol Ismail, Kerajaan Kelantan mengambil alih pengurusan projek itu melantik China Harbour Engineering Company (CHEC) Construction sebagai kontraktor utama yang dibuat secara rasmi minggu lalu.
Menurut beliau, CHEC Construction juga ialau anak syarikat China Communications Construction Co Ltd juga ialah syarikat kontraktor sama terlibat dalam Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri ini.
Ringkasan AI
- Projek Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral (KB Sentral) naik kos hingga RM14 juta dari anggaran RM8 hingga RM12 juta sebelumnya
- Perbelanjaan projek dianggap masih dalam kawalan
- Peningkatan kos berkait dengan rawatan dan kerja-kerja pengukuhkan tanah
- Kerja-kerja tanah merangkumi sistem saliran, tambun, dan penggantian tanah
- Kerajaan Kelantan menunjuk China Harbour Engineering Company sebagai kontraktor utama projek KB Sentral
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

