Muhyiddin dibenar dapat pasport untuk rawatan kesihatan, lawat keluarga di UK

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa membenarkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memperoleh kembali pasport, bagi membolehkannya ke United Kingdom (UK) untuk menjalani pemeriksaan kesihatan akibat kanser pankreas dan melawat cucunya, bulan hadapan.
Hakim, Noor Ruwena Md Nurdin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Muhyiddin, 78, selaku pemohon untuk mendapatkan pasport bermula 8 Disember sehingga 5 Januari 2026.
Beliau berkata, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu memohon pelepasan dokumen perjalanan berkenaan pada 6 November lalu, dengan alasan mahu menjalani pemeriksaan kesihatan akibat penyakit yang dihidapi sejak 2018.
Menurutnya, pemohon mempunyai janji temu di sebuah pusat perubatan di London pada 17 Disember ini selain menggunakan alasan permohonan mendapatkan pasport pernah dibenarkan oleh Mahkamah Sesyen di sini sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, pendakwaan tidak membantah alasan-alasan berkenaan namun tidak bersetuju sekiranya pasport diberi hanya kerana Muhyiddin berhasrat meluangkan masa bersama keluarga termasuk tiga cucu yang kini menetap di negara terbabit.
Menurutnya, pendakwaan juga membantah permohonan pemohon mahu menghabiskan masa untuk bercuti bersama isteri dan keluarganya di Madrid, Sepanyol.
“Pemohon telah menempah tiket penerbangan pada 15 Disember kemudian ke Madrid bermula 20 Disember hingga 2 Januari 2026.
“Dia dan isteri akan kembali ke tanah air melalui Dubai dengan transit antara lima hingga enam hari dan tiba di Kuala Lumpur pada 8 Januari 2026, lalu menyerahkan kembali dokumen perjalanan kepada mahkamah pada 12 Januari,” kata hakim.
Setelah meneliti kedua-dua permohonan beliau berkata, mahkamah tidak melihat justifikasi untuk meneruskan transit yang lama di Dubai sedangkan tempoh masa itu dapat disingkatkan lebih awal.
Sedangkan katanya, jika disemak dengan pihak penerbangan, masih ada pilihan lain untuk tarikh transit yang singkat.
“Pemohon sepatutnya membuat perancangan awal, dapatkan kebenaran mahkamah terlebih dahulu dengan mendapatkan cadangan mahkamah.
“Bukannya tempah tiket, inilah yang dikatakan membuka ruang kepada banyak permohonan sama di masa depan,” katanya.
Tambah Ruwena, tindakan pemohon menempah tiket penerbangan sebelum permohonan di mahkamah dibuat juga menunjukkan beliau mengambil risiko kemungkinan kebenaran pasport dibenarkan atau sebaliknya.
Susulan itu, beliau menasihati pembelaan supaya tidak mengambil mudah mengenai sebarang permohonan di masa hadapan.
“Berdasarkan keterangan dan timbang rasa mahkamah, permohonan ini dibenarkan dengan syarat, tempoh pemulangan pasport dipendekkan bermula 8 Disember, bukannya hari ini.
“Ia perlu dikembalikan kepada mahkamah pada atau sebelum 5 Januari tahun depan,” katanya.
Semasa prosiding, peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin berkata, atas alasan mahu menjalani pemeriksaan kesihatan dan melawat keluarga di luar negara, anak guamnya memohon dokumen itu diserahkan bermula Selasa sehingga 12 Januari tahun depan.
Beliau memohon mahkamah memberi peluang kepada pemohon untuk menjalani proses pemulihan dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga tanpa gangguan daripada mana-mana pihak.
“Anak guam tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri malah Muhyiddin bertekad untuk membersihkan nama melalui proses kehakiman,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat berkata, pendakwaan tidak membantah terhadap permohonan Muhyiddin untuk mendapatkan rawatan susulan di UK.
Sebaliknya beliau membantah permohonan Muhyiddin untuk bercuti dengan isteri dan keluarganya di Madrid.
“Ini kerana permohonan berkenaan akan membuka ruang kepada banyak permohonan sama di masa depan.
"Jika mahkamah mahu membenarkan permohonan ini, saya cadangkan tempoh pelepasan pasport hanya setakat 20 Disember ini," katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat dan Wan Iman Wan Ahmad Afzal.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Ahli Parlimen Pagoh ini didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51 dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd, bagi sekutu parti itu.
Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika ia dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kelima dan keenam, Muhyiddin selaku Presiden parti itu, didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.
Kesalahan didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara Kuala Lumpur, di sini antara 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Seksyen ini membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan pengurusan kes berkenaan pada 23 Februari 2026 dan Muhyiddin dikecualikan kehadiran tarikh berkenaan.
Ringkasan AI
- Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat kembali pasport untuk pemeriksaan kesihatan dan melawat cucu di UK
- Bekas Perdana Menteri itu memohon pasport untuk perjalanan dari 8 Disember sehingga 5 Januari 2026
- Muhyiddin dijadualkan menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah pusat perubatan di London pada 17 Disember
- Permohonan ini dibuat atas alasan kesihatan dan telah dibenarkan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini
- Pendakwaan tidak membantah permohonan Muhyiddin untuk mendapatkan rawatan tetapi membantah permohonannya untuk bercuti di Madrid
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

