Kecoh bas rombongan murid sekolah dibaling batu

Tular video sebuah bas yang dikatakan membawa rombongan murid Tahun Enam dibaling dengan batu.
Tular video sebuah bas yang dikatakan membawa rombongan murid Tahun Enam dibaling dengan batu.
A
A
A

PORT DICKSON - Tular video sebuah bas yang dikatakan membawa rombongan murid sekolah Tahun Enam dibaling dengan batu dalam kejadian di tepi jalan berhampiran Pusat Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini.

Video berdurasi 39 saat itu memaparkan beberapa lelaki menjerit ke arah pemandu bas terbabit, namun butir percakapan mereka tidak dapat didengar dengan jelas.

Menurut keterangan video terbabit, orang awam bertindak membaling batu ke arah bas berkenaan yang membunyikan hon terhadap kenderaan dipakir di tepi jalan.

Turut dimaklumkan, ada kanak-kanak yang menangis ketakutan.

Meninjau di ruangan komen, terdapat seorang wanita memberitahu anaknya menaiki bas terbabit yang dalam perjalanan lawatan ke Kuala Lumpur.

"Itu bas sekolah anak saya, mereka baru nak gerak pergi lawatan ke KL, tapi yang orang awam pergi parkir tepi jalan dah kenapa?

"Tempat lain boleh kot, kamu yang salah, dah nak salahkan pemandu bas pula. Memang susahlah bas nak gerak, jalan jadi sempit," tulisnya.

Seorang wanita yang mengaku sebagai salah seorang guru yang menaiki bas itu berkongsi kronologi kejadian berlaku di ruangan komen.

Katanya, kejadian terbabit pada Rabu sekitar jam 8.30 pagi dan rombongan tersebut membabitkan tiga buah bas.

Artikel Berkaitan:

"Sampai di depan PUSASDA, bas terpaksa berhenti disebabkan laluan sangat sempit kerana berselisih dengan lori tangki minyak dari arah bertentangan.

"Kemudian bas terpaksa berhenti agak lama kerana ada empat kereta dipakir secara bertindih selain kiri dan kanan bahu jalan penuh dengan kereta," katanya.

Tambahnya, pemandu bas terpaksa membunyikan hon agak lama supaya didengar oleh pemilik kenderaan tersebut.

Jelasnya lagi, ada orang awam yang tidak berpuas hati memulakan provokasi dengan memaki hamum pemandu bas serta diikuti beberapa yang lain.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitenden Maslan Udin berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian itu.

 

Ringkasan AI

  • Video tular memaparkan bas membawa murid Tahun Enam dibaling batu
  • Kejadian berlaku berhampiran Pusat Asas Tentera Darat di Port Dickson
  • Bas berhenti kerana jalan sempit disebabkan kenderaan diparkir di tepi jalan
  • Kanak-kanak dalam bas tersebut menangis ketakutan
  • Rombongan membabitkan tiga buah bas dalam perjalanan ke Kuala Lumpur

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!