Tiga warga China ditahan disyaki pecah rumah di Kuala Perlis

Rakaman CCTV menunjukkan tiga suspek memasuki rumah dan mengambil beberapa barangan berharga.
Rakaman CCTV menunjukkan tiga suspek memasuki rumah dan mengambil beberapa barangan berharga.
A
A
A

KANGAR - Tiga lelaki warga China ditahan selepas disyaki terlibat dalam kejadian pecah rumah di Taman Bukit Kubu Fasa 2, Kuala Perlis di sini pada Jumaat, membabitkan kerugian kira-kira RM4,000.

Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata pihaknya menerima laporan pada 11.38 malam daripada seorang lelaki yang mendapati rumah bapa saudaranya di kawasan itu dipecah masuk.

"Hasil siasatan awal mendapati rumah itu menunjukkan kesan umpil dan pecah di bahagian pintu belakang.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan tiga suspek memasuki rumah dan mengambil beberapa barangan berharga," katanya dalam kenyataan hari ini.

Yusharifuddin berkata antara barangan yang dilaporkan hilang ialah barang kemas dan wang tunai.

"Bertindak atas maklumat, pegawai tangkapan bersama anggota Task Force Balai Polis Kuala Perlis dan pasukan MPV IPD Kangar Zon Kuala Perlis telah pergi ke lokasi dan menahan ketiga-tiga lelaki terbabit.

"Hasil siasatan mendapati mereka terdiri warga China berusia antara 38 hingga 54 tahun dan berada di negara ini kurang seminggu atas urusan mencari pekerjaan. Mereka dikatakan ditawarkan kerja sebagai tukang masak, namun belum sempat berurusan dengan mana-mana majikan," katanya.

Yusharifuddin berkata ketiga-tiga suspek memiliki dokumen perjalanan sah dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Suspek kini ditahan reman selama enam hari bermula Sabtu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!