KPDN perkukuh mekanisme pengurusan kawalan harga, subsidi minyak masak

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang dan akan melaksanakan penambahbaikan terhadap tiga kerangka utama dalam mekanisme pengurusan kawalan harga dan subsidi minyak masak sebagai usaha menambah baik pelaksanaan Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS).
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, strategi dan pendekatan baharu yang dilaksanakan bertujuan memastikan skim berkenaan lebih berkesan dalam mengekang ketirisan serta memastikan subsidi sampai kepada golongan sasaran.
"Penambahbaikan tersebut melibatkan tiga kerangka utama. Pertama, kejelasan dasar yang berpandukan had siling kuota 60,000 metrik tan sebulan.
"Kedua, pengukuhan prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan dan ketiga, pemantapan mekanisme pengurusan risiko ketirisan dan penguatkuasaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, KPDN Kelantan memantau kemungkinan berlakunya penyelewengan penjualan minyak masak peket bersubsidi oleh pihak peruncit atau pemborong kepada pengusaha kedai makan di negeri ini.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, walaupun tiada sebarang tangkapan atau aduan rasmi diterima, KPDN Kelantan ada menerima maklumat berkaitan dakwaan tersebut.
Tambah Armizan, dasar dan SOP pelaksanaan Program COSS tertakluk kepada jumlah had siling kuota minyak masak paket yang ditetapkan oleh kerajaan melalui agensi pusat.
Ujar beliau, skim tersebut telah diperkenalkan pada tahun 2007 dan pada tahun 2016, kuota semasa pada masa itu iaitu 84,405 metrik tan sebulan telah dikurangkan kepada 60,000 metrik tan dan berkuat kuasa sehingga kini
"Sehubungan itu, proses penambahbaikan untuk mewujudkan kejelasan dasar perlu berpandukan had siling kuota 60,000 metrik tan sebulan.
"Antara fokus utama dasar dan SOP pelaksanaan adalah untuk memastikan 60,000 metrik tan minyak masak paket satu kilogram (kg) berada di pasaran dan dijual pada harga RM2.50 sekilogram.
"KPDN sentiasa melaksanakan strategi untuk meningkatkan ketangkasan penguatkuasaan. Namun begitu, keberkesanan agenda menangani penyelewengan dan penyeludupan tidak boleh dicapai hanya melalui
penguatkuasaan tanpa mekanisme kawalan pengurusan risiko ketirisan," katanya.
Jelasnya, atas sebab itu, KPDN merintis strategi pemantauan dan penguatkuasaan secara digital melalui Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (Sistem eCOSS).
Menurut beliau, sistem berkenaan meliputi pemantauan rantaian pembekalan minyak masak daripada syarikat pembungkus hingga kepada peringkat peruncit termasuk dalam proses tuntutan bayaran subsidi.
"Sistem eCOSS telah dibangunkan dan dirintis pada tahun 2023 dan telah digunakan sepenuhnya pada tahun 2024. Bagi melengkapkan rantaian pemantauan sehingga ke peringkat pembelian oleh pengguna, bermula Mei 2025 KPDN sedang merintis pelaksanaan Aplikasi Sistem Mobile eCOSS.
"Penggunaan aplikasi ini akan dilaksanakan secara berperingkat untuk memastikan kestabilan sistem sebelum diperluaskan sepenuhnya.
"Program rintis sedang dilaksanakan dalam Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) dan Kerajaan Negeri Johor telah memberikan persetujuan agar aplikasi mobil ini dirintis secara berperingkat di negeri berkenaan," katanya.
Ujar Armizan, melalui Aplikasi Sistem Mobile eCOSS, data pembelian di peringkat runcit akan direkodkan dan KPDN boleh memantau rekod jumlah penjualan oleh pihak peruncit dan data jumlah pembelian dan identiti pengguna berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara.
Jelas beliau, strategi itu sekali gus membolehkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap larangan penjualan dan pembelian melebihi had dan kepada warga asing.
"KPDN komited untuk melaksanakan penambahbaikan dan pembaharuan yang menyeluruh dan tegas untuk membanteras ketirisian subsidi kerajaan dan sekali gus memastikan subsidi dimanfaatkan oleh rakyat secara bersasar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

