PRN Melaka: Kepakaran pembangunan bandar sandaran calon Bersama di DUN Bandar Hilir

KOTA MELAKA – Kepakaran dalam pembangunan bandar dan alam sekitar menjadi taruhan calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), Dr Mohd Nor Rashidi Ab Jalil untuk membawa perubahan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir.
Beliau yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun sebagai jurutera berkata, kepakaran itu bertepatan dengan keperluan penduduk yang berdepan isu kesesakan lalu lintas, penyelenggaraan infrastruktur dan sistem perparitan.
"Perkara seperti pengurusan trafik ini adalah masalah asas dan kalau perkara ini pun tidak dapat diselesaikan, bagaimana kita hendak bercakap mengenai pembangunan yang lebih besar?
"Kita perlu melihat semula kerana ia turut memberi kesan kepada peniaga, terutama di kawasan yang kurang mendapat tumpuan pelancong," katanya ketika ditemui di Pasar Malam Bandar Hilir pada Ahad.
Mohd Nor Rashidi berkata, pemerhatian sepanjang turun padang turut menemukan aduan penduduk berkaitan masalah longkang, jalan mendap, jalan berlubang dan kemudahan infrastruktur yang memerlukan penyelenggaraan lebih sistematik.
Menurutnya, sistem perparitan sedia ada juga perlu dinilai semula agar bersesuaian dengan pertambahan penduduk, kehadiran pelancong serta perubahan iklim yang meningkatkan risiko berkaitan saliran.
"Longkang yang ada sekarang perlu dinaik taraf dan disesuaikan dengan keadaan semasa.
"Kita tidak boleh melihat pembangunan fizikal secara sambil lewa kerana ia melibatkan keperluan harian penduduk," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berpandangan Bandar Hilir memerlukan suntikan baharu bagi merapatkan jurang pembangunan setara George Town, Pulau Pinang.
Jelas beliau, kedua-dua bandar berkenaan memperoleh pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2008.
"Selepas 17 tahun, saya lihat tiada perbezaan berbanding Georgetown yang sudah jauh ke depan.
"Tetapi Bandar Hilir masih di takuk yang sama malah, semasa ketika belajar 25 tahun lepas sehinggalah kini, bandar ini tidak banyak bezanya," katanya.
Selain itu, Mohd Nor Rashidi berkata, peluang pekerjaan dan pendidikan juga perlu diberi perhatian bagi memastikan golongan muda berkelayakan tinggi tidak terus berhijrah ke Kuala Lumpur, Singapura dan Pulau Pinang untuk mendapatkan pekerjaan bersesuaian.
Jelasnya, keadaan itu menyebabkan Bandar Hilir berdepan fenomena penuaan penduduk apabila ramai anak muda meninggalkan kawasan berkenaan kerana kekurangan peluang pekerjaan setaraf kelayakan akademik mereka.
"Kita perlu menarik semula golongan muda supaya mereka dapat tinggal dan menyumbang kepada pembangunan komuniti serta ekonomi setempat.
"Pendidikan dan ekonomi saling berkait. Apabila peluang pekerjaan yang baik dapat diwujudkan, golongan muda mempunyai sebab untuk kekal dan membina kehidupan di sini," katanya.
Mohd Nor Rashidi turut mengajak pengundi mengambil langkah pertama untuk membawa perubahan dengan memberi peluang kepada calon yang sedia membawa perubahan.
"Saya selalu beritahu kepada pengundi sekiranya mahukan perubahan, mulakan dengan langkah kecil, perubahan itu kena buat daripada sekarang.
"Bersama mempunyai calon pelbagai kelayakan profesial seperti peguam, doktor, jurutera dan sebagainya untuk pembangunan negeri," katanya.
DUN Bandar Hilir merupakan kubu kuat Pakatan Harapan (PH)- DAP dan Mohd Nor Rashidi menjadi sandaran bagi mencabar Jasmine Lok Huey Yee (BN) dan Leng Chau Yen sebagai penyandang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
