'Tak puas hati harga minyak? Pergi beli di Singapura' – Anwar

Anwar ketika berucap merasmikan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di Dataran Tanjung Emas, Muar. Foto Jabatan Penerangan Malaysia.
Anwar ketika berucap merasmikan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di Dataran Tanjung Emas, Muar. Foto Jabatan Penerangan Malaysia.
A
A
A

MUAR – Tindakan pembangkang yang terus mempertikaikan harga petrol RON95 di negara ini sebagai mahal disifatkan tidak berasas dan hanya bermotifkan politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penurunan harga petrol RON95 sebanyak enam sen kepada RM1.99 seliter bukan sesuatu yang mudah kerana perlu mengambil kira implikasi kewangan kepada negara.

“Semalam ucap (Himpunan Turun Anwar), harga minyak naik tetapi dia (pembangkang) tidak tahu, tidak puas hati dengan harga minyak di negara ini.

“Pergi beli di Singapura yang lebih tinggi harganya. Begitu juga di Thailand dan Indonesia. Semuanya tinggi, jauh melambung daripada Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di Dataran Tanjung Emas pada Ahad.

Hadir sama ialah Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; serta Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan keputusan kerajaan mengenakan harga RON95 tanpa subsidi kepada warga asing sebaliknya mengikut harga pasaran, dibuat demi melindungi kepentingan rakyat.

Beliau berkata, dakwaan kononnya kerajaan tidak berhati perut apabila mengenakan caj sedemikian adalah tidak berasas.

“Ada yang kata, ‘macam mana ni PMX ni, tak berhati perut, nak minta orang asing bayar lebih.’

Artikel Berkaitan:

“Orang asing pun beri sumbangan juga, tetapi orang asing itu tak bayar cukai. Mana ada di dunia ini orang asing diberi hak yang sama dengan warganegara.

“Saya sebagai Perdana Menteri, tanggungjawab saya yang pertama, jaga rakyat Malaysia. Itu saya pegang,” katanya.

Pada 23 Julai,  Perdana Menteri mengumumkan harga petrol RON95 akan turun lebih rendah iaitu RM1.99 seliter selepas penyasaran subsidi bahan bakar itu dilaksanakan kelak.

Anwar berkata, langkah itu tentunya bakal memberi manfaat kepada sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!