KPDN pantau penyelewengan minyak masak bersubsidi

Azman (tiga dari kanan) semasa melakukan pemeriksaan Ops Kesan di Pasar Raya PKT Pasir Tumbuh, Kota Bharu pada Selasa.
Azman (tiga dari kanan) semasa melakukan pemeriksaan Ops Kesan di Pasar Raya PKT Pasir Tumbuh, Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan memantau kemungkinan berlakunya penyelewengan penjualan minyak masak peket bersubsidi oleh pihak peruncit atau pemborong kepada pengusaha kedai makan di negeri ini.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, walaupun tiada sebarang tangkapan atau aduan rasmi diterima, KPDN Kelantan ada menerima maklumat berkaitan dakwaan tersebut.

“Desas-desus menyatakan ada kemungkinan peruncit atau pemborong menjual minyak masak peket bersubsidi kepada peniaga kedai makan yang mahukan keuntungan lebih.

“Sebagaimana diketahui, harga minyak masak peket satu kilogram di peringkat pemborong adalah RM42.50 bagi setiap karton dan margin keuntungannya sangat kecil,” katanya semasa sidang akhbar selepas melakukan pemeriksaan Ops Kesan di Pasar Raya PKT Pasir Tumbuh, di sini pada Selasa.

Menurut beliau, barangan kawalan seperti minyak masak bersubsidi tidak dibenarkan dijual melebihi harga yang ditetapkan.

Bagaimanapun katanya, sekiranya benar berlaku penjualan kepada pengusaha makanan, kemungkinan peruncit menaikkan harga bagi mendapatkan keuntungan yang lebih.

“Setakat ini, kita belum dapat buktikan, tetapi kemungkinan itu ada. Kita sedang memantau dengan rapi,” ujar beliau.

Dalam masa yang sama, Azman memberitahu bahawa pengagihan minyak masak peket bersubsidi akan dikawal dengan lebih ketat dan diberikan keutamaan kepada pasar raya besar dengan kuota minimum 25 metrik tan.

Ujarnya, di Kelantan, pengguna hanya dibenarkan membeli satu peket minyak masak 1kg setiap seorang.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, langkah ini bertujuan memastikan kegunaan isi rumah dan bukan untuk peniaga.

“Dalam semua program Rahmah, sebanyak 1,000 kg minyak masak peket disediakan dengan had 1kg bagi setiap pengguna bagi mengelakkan ketirisan.

“Kelantan mempunyai lebih 1.8 juta penduduk. Kami sedar tidak semua akan dapat, tetapi kami sedang berusaha sedaya upaya supaya pengagihan ini benar-benar sampai kepada pengguna sebenar,” katanya.

Menurut Azman lagi, satu sistem kawalan berasaskan aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) sedang diuji di tiga negeri iaitu Sabah, Selangor dan Johor sebagai langkah kawalan pembelian minyak masak peket bersubsidi.

Ujar beliau, pengguna perlu mengimbas aplikasi khas sebelum membuat pembelian dan sistem tersebut akan memantau kuota setiap individu.

“Paling penting, dengan adanya sistem ini, warga asing tidak dibenarkan membeli minyak masak bersubsidi langsung,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!