31 remaja bawah umur guna kad pengenalan individu lain untuk kerja kilang dicekup

Anggota JPN dan Imigresen melakukan pemeriksaan pekerja tempatan dan asing dalam Ops Kotak di sebuah kilang kotak di Senai pada Isnin.
Anggota JPN dan Imigresen melakukan pemeriksaan pekerja tempatan dan asing dalam Ops Kotak di sebuah kilang kotak di Senai pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Seramai 31 remaja bawah umur, termasuk yang masih bersekolah, merupakan sebahagian daripada 117 pekerja kilang yang ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan di sebuah kilang kotak di Senai pada Isnin.

Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya, Mohammad Khairu Farhan Md Saad berkata, Ops Kotak itu dijalankan selama tiga jam bermula jam 3 petang hasil maklumat awam selepas risikan dilakukan selama beberapa bulan.

Menurut beliau, 233 pekerja tempatan dan asing diperiksa, termasuk warga Filipina dan Indonesia.

"Secara keseluruhan 233 pekerja warga tempatan dan asing antaranya dari Filipina dan Indonesia termasuk staf kilang diperiksa. Daripada jumlah pemeriksaan itu seramai 86 pekerja warganegara asing ditahan.

"Ini melibatkan 19 lelaki dan 67 wanita dewasa manakala 31 lagi adalah remaja bawah umur melibatkan 16 remaja lelaki dan 15 remaja perempuan yang majoritinya adalah warga tempatan dengan paling muda berusia 14 tahun," katanya dalam sidang akhbar selepas operasi berkenaan.

Beliau berkata, sebahagian remaja berkenaan masih bersekolah manakala selebihnya sudah berhenti sekolah dan bekerja secara separuh masa.

"Mereka ditahan kerana menggunakan kad pengenalan milik orang lain, termasuk adik-beradik atau saudara, bagi mengaburi pihak pengurusan kilang.

"Bagi pekerja asing terbabit didapati menggunakan kad pengenalan palsu dan juga kad pengenalan orang lain yang dipercayai diperoleh daripada ejen mereka di negara masing-masing,"ujarnya.

Mohammad Khairu Farhan berkata, taktik menggunakan identiti palsu itu menjadi modus operandi utama bagi mendapatkan pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

Semua individu yang ditahan disiasat mengikut Peraturan 25(1)(E), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut, termasuk proses pendakwaan dan pengurusan kes melibatkan remaja bawah umur.

Operasi tersebut membabitkan 86 anggota penguat kuasa, iaitu 56 pegawai dari JPN Putrajaya, Kuala Lumpur, Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka, serta 30 pegawai Jabatan Imigresen.

Ringkasan AI

  • Seramai 31 remaja bawah umur ditahan dalam operasi di sebuah kilang kotak di Senai
  • Operasi tersebut dijalankan selama tiga jam berdasarkan maklumat awam dan risikan beberapa bulan
  • Sejumlah 233 pekerja tempatan dan asing diperiksa, melibatkan warga Filipina dan Indonesia
  • Daripada jumlah itu, 86 pekerja warganegara asing ditahan kerana menggunakan kad pengenalan palsu
  • Semua individu yang ditahan disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!