Gangguan bekalan air: Lebih 30,000 penduduk di Johor Bahru dan Tebrau dijangka terjejas

Gangguan bekalan air itu susulan daripada kerja-kerja penyelenggaraan menyeluruh di LRA Sultan Iskandar, Pasir Gudang. (Gambar kecil: Anuar)
Gangguan bekalan air itu susulan daripada kerja-kerja penyelenggaraan menyeluruh di LRA Sultan Iskandar, Pasir Gudang. (Gambar kecil: Anuar)
A
A
A

JOHOR BAHRU – Lebih 30,000 pengguna di sekitar bandar raya ini dan Tebrau dijangka mengalami gangguan bekalan air berjadual selama 26 jam bermula dari 15 hingga 16 Julai ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ Sdn. Bhd, Anuar Abdul Ghani, gangguan dari 9 pagi hingga 11 pagi hari berikutnya itu susulan daripada kerja-kerja penyelenggaraan menyeluruh di Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Iskandar, Pasir Gudang.

Katanya, kerja-kerja penyelenggaraan yang dirancang itu melibatkan baik pulih dan pemeriksaan ke atas semua instrumen penting di loji berkenaan.

Jelasnya, penutupan sementara itu amat penting bagi memastikan sistem rawatan air dapat terus beroperasi dengan cekap dan selamat dalam jangka masa panjang.

“Ranhill SAJ sentiasa memastikan bekalan air terawat yang disalurkan kepada pengguna kekal mematuhi piawaian ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Malah, gangguan bekalan air berjadual ini adalah langkah proaktif demi memastikan sistem pembekalan air berada dalam keadaan optimum dan stabil,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sehubungan itu Anuar berkata, Ranhill SAJ memohon kerjasama kesemua pengguna yang terlibat supaya menyimpan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan.

“Lori-lori tangki air juga akan digerakkan bagi memenuhi keperluan kecemasan terutama di lokasi kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan institusi yang memerlukan bekalan air berterusan.

“Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut dan perkembangan terkini berhubung gangguan tersebut boleh menghubungi talian 1800-88-7474, melayari laman sesawang www.ranhillsaj.com.my atau mengikuti facebook rasmi Ranhill SAJ – Setitis Yang Bermakna,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!