14,000 etnik Rohingya tinggal di Kedah

Mohd Ridzzuan menunjukkan data jumlah tahanan yang berada di Depot Imigresen Belantik, Sik.
Mohd Ridzzuan menunjukkan data jumlah tahanan yang berada di Depot Imigresen Belantik, Sik.
A
A
A

ALOR SETAR – Seramai 14,000 etnik Rohingya dikenalpasti berada di Kedah berdasarkan kemaskini data yang dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri di semua daerah termasuk Kota Setar, Kuala Muda, Pendang, Baling dan Kubang Pasu.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, angka itu merangkumi pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) serta individu tanpa sebarang dokumen sah.

"Daripada segi profiling yang kita buat dan dari masa ke masa kita kemaskini, di Kedah dalam data kami ada lebih kurang 14,000 warga Rohingya yang berselerakan," katanya dalam sidang akbar di sini pada Isnin.

Jelasnya, isu besar yang dihadapi pihak berkuasa adalah etnik Rohingya tidak diiktiraf sebagai rakyat Myanmar oleh kerajaan mereka sendiri.

Beliau berkata, situasi itu turut memberi tekanan besar kepada Depot Imigresen Belantik, Sik yang kini menempatkan 1,400 tahanan meskipun kapasitinya hanya 950 orang.

Menurutnya, tahanan etnik Rohingya yang kini ditempatkan di depot tersebut adalah seramai 522 orang melibatkan 305 lelaki dewasa, 65 perempuan dewasa, 79 kanak-kanak lelaki dan 73 kanak-kanak perempuan.

"Ada kes tahanan Rohingya yang kekal berada di depot sehingga lapan tahun kerana tiada negara bersedia menerima mereka," jelasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terselamat dalam tragedi bot karam berhampiran sempadan Malaysia–Thailand minggu lalu, mangsa akan ditempatkan di Depot Imigresen Belantik sebaik semua prosedur perundangan selesai.

Mohd Ridzzuan berkata, kesemua mangsa akan diserahkan kepada pihaknya di bawah Seksyen 35 Akta Imigresen untuk tujuan pengusiran selepas mereka menjalani proses mahkamah dan hukuman yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

“Kami akan menempatkan mereka di depot dan membuat persiapan sewajarnya. Proses ini hanya boleh dilakukan selepas semua urusan undang-undang selesai,” ujarnya.

Sebelum ini, negara digemparkan dengan tragedi bot karam yang membawa kira-kira 70 PATI berhampiran sempadan maritim Malaysia–Thailand.

Seramai 29 mayat ditemui di perairan Malaysia manakala pihak berkuasa Thailand menemui sekurang-kurangnya 10 lagi mangsa.

Seramai 14 mangsa termasuk lima kanak-kanak, berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa Malaysia.

Ringkasan AI

  • Seramai 14,000 etnik Rohingya berada di Kedah termasuk pemegang kad UNHCR dan individu tanpa dokumen sah.
  • Isu besar dihadapi adalah etnik Rohingya tidak diiktiraf sebagai rakyat Myanmar oleh kerajaan mereka sendiri.
  • Depot Imigresen Belantik, Sik kini menempatkan 1,400 tahanan dengan kapasiti hanya 950 orang.
  • Tahanan etnik Rohingya di depot adalah seramai 522 orang melibatkan 305 lelaki dewasa, 65 perempuan dewasa, 79 kanak-kanak lelaki dan 73 kanak-kanak perempuan.
  • Mangsa tragedi bot karam akan ditempatkan di Depot Imigresen Belantik selepas semua proses perundangan selesai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!