Sekat kemasukan PATI Rohingya

MINGGU lalu, tiga bot yang membawa kira-kira 300 pendatang asing tanpa izin (PATI) karam di Pulau Tarutao, Thailand berdekatan perairan sempadan negara.
Mangsa terdiri daripada etnik Rohingya dari Myanmar dan Bangladesh itu disyaki telah membayar sejumlah kira-kira RM13,000 kepada sindiket untuk perjalanan ke Malaysia.
Perancangan membawa PATI terbabit masuk ke negara ini dikatakan bermula dua minggu lalu sebelum dipindahkan ke bot kecil berasingan.
Setiap individu dikatakan membayar 400,000 taka (RM13,600) kepada ejen di Myanmar bagi mendapatkan tempat untuk belayar ke Malaysia.
Berdasarkan satu temubual dengan seorang mangsa, dia mengakui bayaran dibuat oleh ahli keluarga yang kini menetap di Thailand dan juga Malaysia.
Sudah tentu, pendedahan seperti ini menggusarkan kita dan akan menyebabkan jumlah pelarian yang datang dari negara tersebut semakin bertambah dari tahun ke tahun.
Sesuatu perlu dilakukan segera untuk menghentikan perkara ini atau kita bakal berhadapan masalah lebih besar pada masa-masa akan datang.
Berdasarkan pengalaman Kanada, negara tersebut mewujudkan Program Penajaan Pelarian Persendirian (PSR) yang membolehkan rakyat, pertubuhan bukan kerajaan, gereja atau komuniti menaja pelarian untuk tempoh tertentu.
Pelarian diberi akses segera kepada pendidikan, latihan pekerjaan dan kesihatan. Fokus kepada integrasi sosial dan ekonomi bukan hanya perlindungan sementara.
Ini membolehkan kadar penyertaan pelarian dalam pasaran kerja sangat tinggi selepas beberapa tahun.
Ia boleh mengurangkan beban kerajaan, menggalakkan sokongan masyarakat dan mempercepat integrasi, namun kaedah ini akan menggalakkan lebih ramai kemasukan pelarian.
Turkiye menggunakan Model Perlindungan Kemanusiaan Skala Besar dan menampung lebih tiga juta pelarian Syria, menjadikannya negara paling ramai pelarian di dunia.
Menyediakan kem akses terbuka dan bukan kem tertutup. Sementara pelarian diberi akses kesihatan dan pendidikan percuma, malah program permit kerja diperkenalkan untuk mengurangkan ekonomi gelap.
Kelebihan program ini juga mengurangkan ketegangan sosial dan eksploitasi buruh, tetapi kesannya telah terbukti menjadi lokasi pelarian.
Sementara Uganda, menggunakan kaedah Model Pelarian Berdikari yang membolehkan pelarian diberikan tanah untuk bercucuk tanam, bukan hanya bekalan makanan.
Mereka bebas bergerak dan bekerja, dibenarkan tinggal bersama masyarakat tempatan. Ini menyebabkan pelarian tidak bergantung sepenuhnya pada bantuan dan dapat menyumbang kepada ekonomi.
Jordan pula menggunakan Model Penempatan Sementara Berpusat pada Pendidikan kepada pelarian Syria dengan diberikan akses sekolah dan program kesihatan mental.
Negara itu memberikan fokus kepada pembangunan generasi akan datang untuk mengelakkan risiko kemiskinan tegar dan radikalisasi.
Persoalan lebih besar ialah kaedah yang perlu digunakan Malaysia untuk menangani masalah pelarian Rohingya di negara ini.
Pada masa ini, Malaysia menyediakan perlindungan sementara kepada pelarian Rohingya dengan memberi mereka kad UNHCR yang membolehkan mereka tinggal secara sah walaupun tidak seperti status penduduk tetap.
Melalui kerjasama dengan agensi antarabangsa seperti UNHCR dan NGO, mereka mendapat akses kepada bantuan kemanusiaan seperti pendidikan dan penjagaan kesihatan walaupun tidak sepenuhnya dijamin.
Disebabkan kerajaan Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967, ini bermakna pelarian Rohingya tidak mempunyai hak undang-undang yang diiktiraf secara rasmi di Malaysia.
Pelarian Rohingya juga tidak dibenarkan bekerja secara sah dan terpaksa bekerja secara tidak formal.
Selain itu, kaedah dilakukan menerusi penempatan di negara ketiga, namun proses tersebut lambat kerana tiada negara mahu menerima pelarian ini.
Jadi satu-satunya langkah yang paling ampuh ialah menghalang terus kemasukan mereka ke negara ini dengan apa cara sekalipun.
Bagaimanapun, jika mereka mengambil langkah ‘berani mati’ seperti yang berlaku di Langkawi, kita tiada pilihan selain terpaksa menyelamatkan mereka atas nama kemanusiaan.
* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
