Tiada minuman beralkohol, hanya minuman ringan berkarbonat- KPKT

SHAH ALAM- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjelaskan bahawa minuman yang dihidangkan dalam majlisnya pada 8 November lalu merupakan 'cucumber apple slider' dan tidak mengandungi alkohol.
Kemeterian itu dalam kenyataannya menafikan dakwaan tular di Facebook itu yang cuba memberikan persepsi negatif berhubung penggunaan gelas berkaki bagi minuman tersebut semasa Majlis Anugerah Kecemerlangan Menteri KPKT.
"Minuman 'cucumber apple slider' yang disajikan kepada para tetamu merupakan minuman ringan berkarbonat dan tidak mengandungi sebarang alkohol.
"Penyediaannya dalam gelas berkaki adalah selaras dengan standard katering yang lazim digunakan untuk majlis berprotokol," katanya.
Ujar kenyataan itu lagi, KPKT memandang serius penyebaran maklumat tidak tepat dan mengelirukan yang boleh menjejaskan imej kementerian serta reputasi para tetamu.
"Sehubungan itu KPKT telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) susulan tohmahan yang ditularkan untuk siasatan lanjut.
"Orang ramai dinasihatkan agar merujuk kepada kementerian terlebih dahulu dan tidak membuat sebarang spekulasi tanpa usul periksa.
"KPKT kekal komited untuk memastikan setiap penganjuran majlis mematuhi garis panduan, nilai integriti dan sensitiviti masyarakat," katanya.
Ringkasan AI
- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjelaskan minuman 'cucumber apple slider' tidak mengandungi alkohol
- Dakwaan tular di media sosial tentang penggunaan gelas berkaki ditolak oleh KPKT
- Penyajian dalam gelas berkaki adalah selaras dengan standard katering majlis berprotokol
- KPKT membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berhubung penyebaran informasi salah
- KPKT berkomitmen mematuhi garis panduan dan sensitiviti masyarakat dalam penganjuran majlis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
