Banjir kilat: Jambatan Jalan Kubu Gajah runtuh, beberapa laluan terjejas

Keadaan jambatan yang runtuh di Jalan Kubu Gajah, Merbau Sempak di sini susulan hujan lebat pada Rabu.
Keadaan jambatan yang runtuh di Jalan Kubu Gajah, Merbau Sempak di sini susulan hujan lebat pada Rabu.
A
A
A

SUNGAI BULOH – Kira-kira 50 keluarga terjejas akibat banjir susulan hujan lebat hingga menyebabkan jambatan utama di Jalan Kubu Gajah, Merbau Sempak di sini runtuh dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi pada Rabu.

Kejadian itu menyebabkan laluan menghubungkan Kampung Kubu Gajah ke Paya Jaras Hilir terputus sepenuhnya dan ditutup kepada semua kenderaan atas faktor keselamatan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri akan mengambil tindakan segera dengan memasang jambatan sementara jenis Bailey sepanjang 35 meter bagi membolehkan penduduk kembali menggunakan laluan berkenaan.

"Jambatan sementara ini dijangka dapat disiapkan dalam tempoh dua hingga tiga minggu menggunakan stok sedia ada milik kerajaan negeri tanpa perlu melibatkan kos sewaan.

"Bagaimanapun, kita perlu mengalihkan tiang elektrik terlebih dahulu sebelum jambatan ini boleh dipasang," katanya ketika meninjau lokasi kejadian di sini pada Rabu.

Amirudin (dua dari kiri) meninjau lokasi jambatan runtuh di Jalan Kubu Gajah, Merbau Sempak pada Rabu.
Amirudin (dua dari kiri) meninjau lokasi jambatan runtuh di Jalan Kubu Gajah, Merbau Sempak pada Rabu.

Berdasarkan laporan teknikal, jambatan itu mengalami keruntuhan sepanjang kira-kira 20 meter selepas aliran deras Sungai Subang susulan hujan lebat 48 milimeter direkodkan di Stesen Paya Jaras Hilir.

Kerosakan tebing sungai berhampiran jambatan turut menjejaskan kestabilan strukturnya.

Artikel Berkaitan:

Amirudin menjelaskan, pembinaan jambatan kekal pula dijangka bermula awal tahun depan selepas mengambil kira keperluan pengalihan utiliti di kawasan berkenaan.

Katanya, projek pembinaan jambatan baharu itu mungkin mengambil masa sehingga dua tahun untuk disiapkan.

Mengulas punca kejadian, Amirudin berkata, projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Subang sebenarnya sudah selesai dilaksanakan, namun mendapan di kawasan jambatan lama menyebabkan aliran air terganggu sehingga berlaku limpahan.

"Jajaran sungai ini sebenarnya projek RTB sudah selesai, tetapi berlaku mendapan di jambatan yang masih menggunakan saiz lama sehingga menyebabkan limpahan air dan jambatan ini pecah dalam kejadian malam tadi," katanya.

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!