Selangor tinggikan ban Sungai Pelempas atasi banjir Kampung Melayu Subang

Suasana penduduk setempat meredah kawasan banjir kilat ketika tinjauan di Kampung Melayu Subang pada Isnin lalu. Foto Bernama
Suasana penduduk setempat meredah kawasan banjir kilat ketika tinjauan di Kampung Melayu Subang pada Isnin lalu. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan meningkatkan ketinggian ban di sepanjang Sungai Pelempas berhampiran Kampung Melayu Subang di sini sebagai langkah segera mengatasi masalah banjir berulang di kawasan itu.

Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri, Datuk Izham Hashim berkata, pemerhatian di lokasi mendapati tebing sungai berkenaan tidak mampu menampung aliran air ketika hujan lebat, menyebabkan air melimpah ke kawasan penempatan penduduk.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan projek berkenaan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam masa terdekat bagi mendapatkan kelulusan supaya kerja menaikkan ban dapat disegerakan.

"Antara langkah yang dikenal pasti ialah meningkatkan ketinggian bahagian ban yang rendah antara 0.5 hingga satu meter, dengan kos dianggarkan kurang RM1 juta," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Tapak Bangunan Baharu Ibu Pejabat Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di Seksyen 33 di sini pada Rabu.

Majlis yang disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin itu turut dihadiri Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin dan Ketua Penolong Pengarah LUAS, Haslina Amer.

Pada Isnin lepas, beberapa kawasan di Subang dan Sungai Buloh dilanda banjir antaranya Jalan Jati, Kampung Melayu Subang dan Kampung Kubu Gajah, dengan paras air antara 0.3 hingga 0.6 meter.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melawat mangsa banjir di Kampung Melayu Subang semalam mengarahkan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh dan RTB Sungai Damansara bernilai hampir RM700 juta dipercepatkan susulan kejadian banjir berulang yang menjejaskan penduduk setempat.

Mengulas perkembangan RTB Sungai Buloh, Izham berkata, projek itu masih di peringkat awal selepas peruntukan diluluskan pada hujung tahun lepas dan dijangka mengambil masa empat hingga lima tahun untuk disiapkan, merangkumi proses reka bentuk, pengambilan tanah dan pembinaan fizikal.

Dalam pada itu, Izham berkata, tindakan penguatkuasaan juga perlu dilaksanakan di sebahagian kawasan Sungai Pelempas berikutan terdapat rumah yang dibina di atas rizab sungai.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kelulusan untuk tindakan berkenaan, yang melibatkan jajaran sepanjang beberapa ratus meter, baru diperoleh minggu lepas.

"Kerajaan negeri akan cuba meminimumkan kesan pemindahan namun kedudukan rumah yang terlalu hampir dengan sungai menyebabkan kawasan itu terdedah kepada limpahan air.

"Justeru, pembinaan ban atau tembok banjir perlu disertai tindakan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan penduduk dan kepentingan umum terpelihara," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut melaksanakan langkah mitigasi sementara seperti pemasangan pam air dan kerja menaikkan ban di kawasan berisiko sementara menunggu projek RTB disiapkan.

Selain itu, katanya kerajaan negeri memperuntukkan tambahan RM70 juta bagi melaksanakan 255 projek quick win di seluruh Selangor, termasuk pemasangan pam serta kerja pembersihan longkang dan parit.

Sementara itu, Ahmad Fadzli berkata, pembinaan Ibu Pejabat LUAS bernilai RM65 juta di atas tapak seluas 14,729 kaki persegi itu dijangka siap pada suku ketiga 2029.

Beliau berkata, bangunan empat tingkat yang mengutamakan konsep seni bina mesra pengguna itu akan menempatkan ruang pejabat, auditorium, dewan serbaguna, pusat kawalan, makmal kualiti air serta kemudahan parkir.

"Selain memperkukuh keupayaan pentadbiran, operasi dan penyampaian perkhidmatan LUAS dalam pengurusan sumber air negeri, inisiatif strategik ini turut menyokong pelaksanaan serta kejayaan Projek Selangor Maritime Gateway (SMG)," katanya. - Bernama

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!