Covid-19: Dua lelaki ditahan sebar berita palsu

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Dua lelaki ditahan selepas dipercayai menyebar berita palsu mendakwa kononnya berlaku kes positif koronavius (Covid-19) di Kampung Air Putih, Kemaman, pada 15 Mac lalu.

Kedua-dua sahabat yang berusia 30-an dan 40-an itu ditahan di kediaman masing-masing di Kemaman selepas berita palsu tersebut disebarkan dan tular di media sosial serta menimbulkan kegusaran orang ramai terutama penduduk setempat di kampung berkenaan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, sejurus menerima berita yang tular itu, pihaknya terus mendapatkan kepastian dengan pihak Hospital Kemaman.

"Bagaimanapun pihak Hospital Kemaman mengesahkan berita tersebut tidak benar, lalu anggota terus melakukan siasatan untuk mengenal pasti identiti individu bertanggungjawab menyebarkan berita palsu tersebut.

"Mereka ditangkap di rumah masing-masing pada hari sama berita berkenaan tular di media sosial terutamanya melalui WhatsApp," katanya menerusi satu kenyataan media.

Kata Roslee, sementara itu individu dipercayai menyebarkan berita palsu berhubung seorang peniaga kedai runcit di Dungun yang kononnya disahkan positif Covid-19 masih di buru.

"Akibat penyebaran berita palsu tersebut, pelanggan tidak lagi berkunjung ke kedai runcit milik mangsa kerana takut dan kini usaha memburu suspek giat dijalankan.

"Kedua-dua kes itu disiasat mengikut seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan mengenai Covid-19, Roslee berkata, sehingga hari ini, seramai 24 pegawai dan anggota termasuk Ketua Polis Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan masih dikuarantin di rumah dan Ibu Pejabat Polis Kemaman.

"Kesemua mereka ini mempunyai kontak rapat dengan seorang isteri kepada anggota polis yang bertugas di Hospital Kemaman.

“Isteri kepada anggota itu adalah jururawat dan disahkan positif Covid-19 serta dirawat di Hospital Kemaman, sementara pegawai dan anggota kita berada (kuarantin) di rumah dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman.

“Setakat ini, tidak ada pegawai dan anggota kita yang disahkan positif,” katanya.

Katanya lagi, seramai 16 pegawai termasuk anggota polis serta dua kakitangan awam turut dikuarantin di Kuala Terengganu.

"Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikeluarkan, pegawai polis dari Bukit Aman mengadakan program di Pulau Perhentian dan salah seorang yang turut serta disahkan positif Covid-19.

"Daripada jumlah itu, tujuh anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK ) Terengganu yang turut sama dikuarantin," katanya.