Sekolah disaran sedia kotak aduan

No Image Caption
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Setiap sekolah di kawasan seliaan Polis Daerah Iskandar Puteri disaran menyediakan kotak maklumat atau kotak aduan bagi mengekang aktiviti pelbagai jenayah dalam kalangan pelajar.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kewujudan kotak itu juga menjadi platform kepada pelajar menyalurkan maklumat secara terus khususnya berkaitan jenayah ugutan dan paksaan menyertai kongsi gelap.

“Sesetengah pelajar takut untuk mendedahkan dan memberitahu kepada guru tentang sesuatu kes atau masalah.

“Justeru, mana-mana pelajar yang mempunyai maklumat tentang sesuatu perkara boleh berkongsi terus ke dalam kotak maklumat itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri program ‘Kembali Ke Sekolah’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Medini, di sini semalam.

Dzulkhairi berkata, kotak tersebut itu kemudiannya akan diperiksa oleh Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang akan melakukan lawatan dua kali sebulan ke sekolah masing-masing.

"Ini bagi membolehkan sebarang tindakan lanjut mengenai maklumat atau aduan itu dilaksanakan.

"Pihak sekolah juga boleh merujuk kepada PPS masing-masing sekiranya berdepan masalah berkaitan undang-undang dan langkah keselamatan di sekolah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, terdapat 57 sekolah di bawah pentadbiran polis daerah Iskandar Puteri yang mana 13 adalah sekolah rendah dan 44 adalah sekolah menengah.

"Sepanjang tahun lepas, seramai 155 pelajar di sekitar kawasan Iskandar Puteri telah ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk berkaitan dadah dan trafik," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan kepada orang awam untuk tidak menceroboh kawasan di Tasik Biru, Kangkar Pulai, di sini, kerana kawasan tersebut merupakan kawasan persendirian dan kawasan larangan.

“Kami telah menerima aduan daripada pihak empangan terdapat ramai pengunjung mencerobohi kawasan itu untuk beriadah dan mendaki bukit.

"Pengunjung yang didapati menceroboh kawasan itu akan ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 4(2) Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!