Projek mega dipertikai, pembangkang tuntut penjelasan

Muhammad Fauzi
Muhammad Fauzi
A
A
A

GEORGE TOWN - Pulau Pinang kini dilihat berada dalam krisis mobiliti apabila jumlah kenderaan di negeri ini mencatat angka membimbangkan iaitu 2.67 juta setakat Oktober 2024.

Data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan, terdapat 1.52 juta motosikal dan 1.15 juta kereta persendirian bersamaan hampir dua kenderaan bagi setiap penduduk, bahkan jumlah itu terus meningkat setiap tahun.

Menurut Ketua Pembangkang, Muhammad Fauzi Yusoff, isu tersebut menuntut perhatian serius kerajaan negeri kerana setiap hari rakyat terperangkap berjam-jam, menanggung kerugian masa, petrol dan kos psikologi akibat tekanan trafik yang tidak berkesudahan.

"Apabila kenderaan bertambah, jalan bertambah sesak dan apabila jalan bertambah sesak, kerja mereka tergendala. Apabila kerja tergendala, ekonomi negeri turut menerima tempias.

"Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) menyasarkan nisbah penggunaan pengangkutan awam 40 peratus berbanding 60 peratus kenderaan persendirian menjelang 2030. Namun, realitinya penggunaan pengangkutan awam masih rendah dan jauh daripada sasaran," katanya.

Muhammad Fauzi (Pas-Sungai Dua) berkata demikian ketika sesi pembahasan Belanjawan 2026 di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri perlu memastikan projek mega seperti LRT Laluan Mutiara bukan sekadar aspirasi tetapi memberi manfaat sebenar kepada rakyat, menepati masa dan bajet serta tidak menjadi liabiliti kewangan.

"Jajaran LRT Laluan Mutiata dengan 20 stesen hanya meliputi empat kawasan Parlimen iaitu Bayan Baru, Jelutong, Bukit Gelugor dan Tanjong manakala di Seberang Perai hanya berhenti di Penang Sentral.

"Kawasan lain seperti Balik Pulau, Bukit Bendera, Kepala Batas, Tasek Gelugor, Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Selatan dan kawasan luar bandar tidak termasuk dalam fasa awal ini," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Fauzi juga menuntut penjelasan berhubung 236 lot tanah yang dianggarkan terlibat dalam pengambilan tanah untuk projek LRT Laluan Mutiara termasuk lokasi jumlah penduduk, premis perniagaan dan bangunan yang akan terkesan, serta sejauh mana impak sosial (SIA) projek dijalankan sebelum kerja bermula.

Beliau turut menyoal mengenai tenaga kerja yang akan terlibat dalam pembinaan LRT, termasuk jumlah pekerja asing dan tempatan, selain lokasi penempatan mereka.

"Selain LRT, kerajaan negeri turut mempromosi lebuh raya besar seperti Pan Island Link (PIL 1) dan Jalan Pintasan Ayer Itam–LCE sebagai penyelesaian kesesakan.

"Pengalaman dunia menunjukkan lebuh raya baharu biasanya membawa kepada fenomena induced demand yang mana lebih banyak jalan menyebabkan lebih banyak kenderaan, sekali gus kesesakan kembali berlaku.

"Persoalannya, jika lebuh raya memberikan perjalanan lebih cepat daripada LRT, adakah rakyat akan beralih kepada pengangkutan awam? Jika LRT gagal menarik penumpang yang mencukupi, ia akan menjadi beban kewangan kepada negeri,” katanya.

Beliau juga mendesak kerajaan negeri agar menumpukan perhatian bukan hanya kepada projek mega tetapi perkhidmatan asas seperti bas, laluan perantara dan penyuraian trafik bagi memastikan semua rakyat Pulau Pinang mendapat manfaat sebenar.

Ringkasan AI

  • Pulau Pinang berada dalam krisis mobiliti dengan jumlah kenderaan yang mencapai 2.67 juta setakat Oktober 2024
  • Jumlah kenderaan terus meningkat dengan hampir dua kenderaan untuk setiap penduduk
  • Muhammad Fauzi Yusoff menekankan, isu kesesakan bertambah akibat peningkatan jumlah kenderaan dan mempengaruhi ekonomi negeri
  • Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang menyasarkan nisbah penggunaan pengangkutan awam 40 peratus menjelang 2030, namun realitinya masih jauh daripada sasaran
  • Projek LRT Laluan Mutiara dan lebuh raya besar seperti Pan Island Link dan Jalan Pintasan Ayer Itam-LCE dipromosikan sebagai penyelesaian kesesakan tetapi keberkesanannya dipertikaikan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!