ART dijangka beri kesan besar kepada ekonomi Pulau Pinang

GEORGE TOWN - Pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-Amerika Syarikat (ART) dijangka memberi kesan besar kepada ekonomi Pulau Pinang terutama dalam sektor halal, elektronik dan elektrikal (E&E), pelaburan asing serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, walaupun impak menyeluruh ART terhadap negeri masih dalam penelitian, perjanjian itu membuka peluang ketara kepada industri halal negeri untuk menembusi pasaran Amerika Syarikat melalui akses pasaran bebas tarif.
Menurutnya, ia sekali gus melonjakkan eksport dan kedudukan pemain halal tempatan dalam rantaian bekalan global bernilai tinggi.
"PKS halal negeri berpeluang menjadi rakan strategik syarikat Amerika Syarikat dalam industri berteknologi tinggi selain menikmati kos eksport yang lebih kompetitif.
“Kerajaan negeri sedang meneliti pelbagai langkah untuk memperkukuh ekosistem halal termasuk mempertingkatkan penguatkuasaan dan penjenamaan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), meningkatkan automasi pengeluaran PKS halal serta meneroka pasaran baharu seperti Timur Tengah dan ASEAN melalui misi perdagangan,” katanya.
Kon Yeow berkata demikian ketika menjawab soalan Izhar Shah Arif Shah (Bersatu-Seberang Jaya) mengenai impak ART terhadap Pulau Pinang semasa Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Selasa.
Tambah beliau, sektor halal Pulau Pinang memiliki potensi pertumbuhan tinggi khususnya dalam makanan siap dan pemprosesan, namun cabaran seperti pematuhan piawaian dan daya saing global perlu ditangani segera.
Kon Yeow turut memaklumkan bahawa ART membuka ruang lebih luas untuk sektor E&E Pulau Pinang menembusi pasaran Amerika Syarikat.
“Perjanjian ini berpotensi menarik lebih banyak pelaburan asing langsung (FDI) serta mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi.
"Ia juga mendorong peningkatan kapasiti tenaga kerja tempatan menerusi program latihan teknikal,” jelasnya.
Bagaimanapun menurutnya, walaupun menawarkan peluang, ART turut membawa cabaran kepada PKS, sektor pertanian dan industri halal negeri.
"Bagi PKS dan usahawan kecil, kerajaan negeri melalui Portfolio Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar melaksanakan pelbagai program pemerkasaan termasuk skim mikro kredit, bantuan peralatan serta latihan peningkatan kemahiran.
"Bagi sektor pertanian, perjanjian itu dijangka memberi kesan positif terhadap komoditi seperti getah asli, minyak sawit dan hasil makanan lain, namun Pulau Pinang bukan pengeluar utama komoditi tersebut.
"Justeru, negeri ini berpotensi berkembang melalui produk pertanian inovatif, nilai tambah dan akses pasaran premium," ujarnya.
Mengulas langkah mitigasi, Kon Yeow berkata, dasar khusus berkaitan ART sedang diteliti bagi memastikan kepentingan ekonomi dan sosial negeri terjamin.
Namun demikian katanya, usaha memperkukuh ketahanan ekonomi terus dilaksana melalui InvestPenang termasuk meningkatkan infrastruktur sokongan industri, memperkemas proses pengawalseliaan dan perniagaan serta mengurangkan kos operasi untuk menarik dan mengekalkan pelabur.
“Kerajaan negeri komited memastikan Pulau Pinang kekal sebagai pemain strategik dalam rantaian bekalan global, dengan manfaat langsung kepada rakyat dan komuniti usahawan,” katanya.
Ringkasan AI
- Pelaksanaan ART dijangka meningkatkan ekonomi Pulau Pinang khususnya di sektor halal, elektronik, pelaburan asing dan PKS
- Perjanjian membuka peluang kepada industri halal negeri untuk menembusi pasaran AS tanpa tarif
- Sektor E&E Pulau Pinang berpotensi menarik lebih banyak pelaburan asing dan mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi
- ART membawa cabaran kepada PKS, sektor pertanian dan industri halal negeri tetapi kerajaan negeri mempunyai program pemerkasaan
- Kerajaan negeri komited memperkukuh ketahanan ekonomi Pulau Pinang dan mengekalkannya sebagai pemain strategik dalam rantaian bekalan global
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

