Kebocoran bumbung KLIA berpunca kelalaian kontraktor - MAHB

Insiden kebocoran di Terminal 1 KLIA pada Jumaat.
Insiden kebocoran di Terminal 1 KLIA pada Jumaat.
A
A
A

SEPANG - Kegagalan kontraktor mengalihkan penutup papan lapis yang merupakan prosedur wajib dikenal pasti sebagai punca insiden kebocoran pada bumbung di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat.

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam kenyataan memaklumkan kesilapan itu dianggap satu bentuk kelalaian yang tidak boleh diterima serta tidak memenuhi piawaian kerja yang ditetapkan untuk projek infrastruktur kritikal lapangan terbang.

“Siasatan mendapati kejadian berkenaan berlaku ketika kerja pemulihan dan kalis air bumbung sedang dijalankan di bangunan terminal utama, sebagai sebahagian daripada program penyelenggaraan infrastruktur yang semakin berusia,” kata kenyataan itu pada Sabtu.

Menurut kenyataan itu, kontraktor terbabit ketika itu melaksanakan kerja penutupan (sealing) berjadual pada titik saliran bumbung sebelum aktiviti kilat dikesan semakin aktif di kawasan KLIA.

“Bagaimanapun, dalam keadaan tergesa-gesa akibat cuaca buruk, kontraktor didapati gagal mengalihkan papan lapis yang digunakan sebagai penutup keselamatan pada titik saliran, sehingga menyebabkan salah satu sistem saliran bumbung tersumbat,” kata kenyataan itu.

Kegagalan itu menghalang aliran air ketika hujan lebat luar biasa dan menyebabkan jumlah air besar bertakung di atas bumbung sebelum menembusi siling terminal serta memasuki balai pelepasan.

Sehubungan itu, kerja dihentikan serta-merta mengikut prosedur keselamatan dan pasukan kontraktor diarahkan meninggalkan kawasan bumbung.

Menurut kenyataan itu lagi, pasukan respons KLIA mengambil masa kira-kira satu setengah jam bagi membersihkan dan mengamankan kawasan terjejas sebelum semua operasi kembali berjalan seperti biasa.

MAHB menegaskan bahawa pihaknya komited mengekalkan standard tertinggi yang dijangkakan orang ramai dan akan mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor atas prestasi kerja yang tidak memuaskan itu.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, MAHB sedang bekerjasama dengan kontraktor bagi melaksanakan penambahbaikan segera, termasuk kewajipan memeriksa ramalan cuaca sebelum memulakan kerja di bumbung serta memperkukuh protokol kecemasan ketika kerja perlu dihentikan akibat cuaca buruk.

Kerja bumbung tersebut merupakan sebahagian projek pembaikan setahun yang bermula pada April 2025 untuk memulihkan dan mengkalis air bumbung terminal utama, selain menjadi elemen penting dalam program pembaharuan infrastruktur Malaysia Airports.

Terdahulu, tular beberapa rakaman video di media sosial daripada orang awam mengenai kebocoran bumbung di terminal penumpang KLIA pada Jumaat.

Ringkasan AI

  • Kegagalan kontraktor mengalihkan penutup papan lapis dikenal pasti sebagai punca insiden kebocoran bumbung di KLIA
  • Kesilapan tersebut dianggap bentuk kelalaian yang tidak memenuhi piawaian kerja projek infrastruktur kritikal
  • Insiden kebocoran berlaku ketika kerja pemulihan dan kalis air bumbung dalam program penyelenggaraan infrastruktur
  • Kontraktor gagal mengalihkan papan lapis dalam cuaca buruk, menyebabkan sistem saliran bumbung tersumbat
  • MAHB mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor dan bekerjasama untuk penambahbaikan segera, termasuk kewajipan memeriksa ramalan cuaca sebelum kerja di bumbung

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!