Guru silat tidak mengaku cabul dua remaja

Seorang guru silat berdepan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan persetubuhan luar tabii terhadap dua remaja perempuan yang juga pelajarnya berusia 14 dan 15 tahun di Mahkamah Sesyen, pada Jumaat.
Seorang guru silat berdepan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan persetubuhan luar tabii terhadap dua remaja perempuan yang juga pelajarnya berusia 14 dan 15 tahun di Mahkamah Sesyen, pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Seorang guru silat berdepan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan persetubuhan luar tabii terhadap dua remaja perempuan yang juga pelajarnya berusia 14 dan 15 tahun di Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat.

Tertuduh, Yusof Omar, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kesemua tiga pertuduhan yang dibacakan di mahkamah berasingan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin dan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Bagi pertuduhan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla, tertuduh didakwa dengan sengaja telah melakukan amang seksual fizikal bagi tujuan seksual dan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Tertuduh juga didakwa dengan sengaja telah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa sama dan didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebat.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 2 petang di rumah beralamat Taman Telok Mas pada 13 September lalu.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Rohatul, tertuduh berdepan dengan satu lagi pertuduhan di bawah AKSTK 2017 atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi remaja berusia 14 tahun.

Kesalahan itu dilakukannya kira-kira jam 8 pagi di lokasi sama pada 8 Oktober lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasaruddin dan Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan keseluruhan sebanyak RM70,000.

Pendakwaan turut memohon syarat tambahan dikenakan iaitu tertuduh tidak mengganggu mangsa, melapor diri sekali setiap dua minggu di balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Peguam Nigel Tai yang mewakili tertuduh memohon agar jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai guru silat dengan pendapatan tidak menentu, tidak mencecah RM1,000 pada bulan lalu.

Tertuduh juga menyara ibu sakit tua selain menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis, jantung selain masalah saraf di kaki kiri.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin keseluruhan sebanyak RM24,000 dan bersetuju dengan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.

Hakim Rohatul dan Raja Noor Adilla masing-masing menetapkan tarikh 15 dan 23 Disember sebagai sebutan semula kes.

Ringkasan AI

  • Guru silat dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan melakukan amang seksual terhadap dua remaja perempuan
  • Yusof Omar, sang guru, membantah tuduhan dan mengaku tidak bersalah
  • Tuduhan melibatkan amang seksual fizikal dan persetubuhan luar tabii di lokasi yang sama pada tarikh yang berbeza
  • Pendakwaan memohon jaminan RM70,000 dengan syarat tertuduh tidak mengganggu mangsa
  • Mahkamah setuju dengan jaminan keseluruhan RM24,000 dan syarat tambahan dari pihak pendakwaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!