Fasilitator motivasi didakwa amang seksual pelajar lelaki di dewan sekolah

KANGAR - Seorang fasilitator motivasi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, pada Rabu atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan berkomunikasi secara seksual terhadap seorang pelajar di sebuah sekolah di daerah Padang Besar pada Julai lalu.
Tertuduh, Mohd Zulkarnain Atan, 44, bagaimanapun, membuat pengakuan tidak bersalah dan mohon untuk dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dan berkomunikasi secara seksual terhadap seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun.
Perbuatan itu didakwa dilakukannya di dewan sebuah sekolah di daerah Padang Besar sekitar jam 9 pagi pada 10 Julai lalu.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 11(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan bagi pertuduhan pertama dan penjara tidak lebih tiga tahun bagi pertuduhan kedua.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Ayuni Ahmad dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Tengku Ruqayyah dalam hujahannya meminta mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, Nur Ayuni merayu mahkamah untuk memberikan satu jumlah yang minima terhadap anak guamnya memandangkan anak guamnya itu seorang duda yang tidak mempunyai pendapatan tetap selain terpaksa menanggung ayah yang sudah tua dan kakaknya yang juga ibu tunggal.
Nur Ayuni turut menjelaskan kepada mahkamah bahawa anak guamnya mempunyai sakit jantung, asma serta sakit tulang belakang dan perlu mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.
Selain itu anak guamnya tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa.
Ana Rozana kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Mahkamah kemudian menetapkan 16 Oktober hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen serta laporan forensik.
Pada Februari tahun lalu, tertuduh pernah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, atas dua pertuduhan mencabul kehormatan dua penuntut lelaki sebuah universiti awam di Melaka. -Awani
Ringkasan AI
- Seorang fasilitator motivasi didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar atas dua pertuduhan ke atas remaja sekolah di Padang Besar pada Julai lalu
- Tertuduh, Mohd Zulkarnain Atan berusia 44 tahun membuat pengakuan tidak bersalah
- Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dan berkomunikasi secara seksual terhadap seorang remaja lelaki 14 tahun
- Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan untuk pertuduhan pertama, dan penjara tidak lebih tiga tahun untuk pertuduhan kedua
- Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
