Raja Bahrin tegur kelemahan proses pemilihan Amanah

KUALA TERENGGANU – Isu cadangan penangguhan Pemilihan Parti Amanah Negara (Amanah) 2026 mencetuskan kekeliruan dalam kalangan ahli apabila muncul kenyataan bercanggah antara pimpinan negeri dan pusat.
Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, kekecohan ketika Konvensyen Amanah pada 8 November lalu berpunca daripada maklumat berbeza yang tersebar lebih awal dalam kumpulan WhatsApp parti.
"Pengerusi Amanah Terengganu didakwa memaklumkan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Nasional telah memutuskan untuk menangguhkan pemilihan selaras dengan fasal 19.2(j) Perlembagaan Amanah.
"Namun sewaktu konvensyen, wakil penganjur pula menyatakan bahawa perkara itu tidak pernah dibincangkan. Di sinilah kekeliruan bermula," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, dua kumpulan perwakilan yang bertegas mahu berhujah sehingga suasana menjadi tegang dan perbahasan terpaksa dihentikan oleh Pengerusi Tetap.
"Tindakan Pengerusi Tetap, Azhar Shukor yang hanya memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk menyuarakan pandangan pula dipertikaikan.
"Tidak wajar beliau disalahkan. Ada pula mesej kurang sopan dihantar kepadanya. Ini tidak mencerminkan adab dalam Amanah," katanya.
Menurutnya lagi, kenyataan Pengerusi Amanah Terengganu dianggap serius kerana beliau juga merupakan AJK Nasional, Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Ketua Pemuda Amanah Nasional dan seorang Senator.
"Disebabkan itu, ahli percaya maklumat tersebut. Ia tersebar tiga minggu sebelum konvensyen. Sepatutnya isu ini boleh ditangani lebih awal," katanya.
Jelasnya, parti perlu mengambil pengajaran agar perkara sama tidak berulang menjelang pemilihan nasional akan datang.
Rabu lalu, Ketua Pemuda Amanah, Hasbie Muda mengakui kesilapannya berkongsi maklumat tidak tepat mengenai hal dalaman parti, namun menegaskan ia bukanlah punca yang mencetuskan kekecohan semasa konvensyen Amanah baru-baru ini.
Hasbie menjelaskan kekeliruan itu berpunca daripada salah faham terhadap isu cadangan penangguhan pemilihan parti yang dibincangkan dalam mesyuarat kepimpinan peringkat pusat sebelum ini.
Menurutnya, perkara tersebut memang dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan tetapi hanya di bawah agenda terakhir, iaitu hal-hal lain.
Sebelum itu, maklumat mengenai keputusan Amanah untuk menangguhkan pemilihan dikatakan tersebar dalam kalangan ahli dan pemimpin Amanah sehingga mencetuskan ketegangan ketika konvensyen tahunan parti di Shah Alam hujung minggu lalu.
Ringkasan AI
- Isu cadangan penangguhan Pemilihan Parti Amanah Negara 2026 mencetuskan kekeliruan antara pimpinan negeri dan pusat
- Kekecohan berpunca dari maklumat berbeza dalam kumpulan WhatsApp parti sebelum Konvensyen Amanah
- Pengerusi Amanah Terengganu didakwa memaklumkan keputusan menangguhkan pemilihan yang tidak pernah dibincangkan dalam konvensyen
- Suasana menjadi tegang dan perbahasan dihentikan oleh Pengerusi Tetap semasa konvensyen
- Parti perlu mengambil pengajaran untuk mengelak kekecohan serupa menjelang pemilihan nasional akan datang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
