Konvensyen parti perlu zahir demokrasi sihat, bukan medan perbalahan

Keratan berita Sinar Harian mengenai kekecohan Konvensyen Amanah.
Keratan berita Sinar Harian mengenai kekecohan Konvensyen Amanah.
A
A
A

KEKECOHAN yang berlaku semasa perbahasan usul pemilihan parti pada hari kedua Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) 2025 mencerminkan satu situasi dalaman yang perlu ditangani dengan berhati-hati oleh kepimpinan parti tersebut.

Walaupun perbezaan pandangan merupakan lumrah dalam mana-mana organisasi politik, namun cara pengurusannya memainkan peranan besar dalam membentuk persepsi masyarakat terhadap kematangan dan keutuhan sesebuah parti.

Dalam konvensyen atau mesyuarat agung sesebuah parti, suasana yang aman dan rasional amat penting bagi memastikan mesej yang ingin disampaikan tersusun serta difahami dengan jelas oleh semua perwakilan.

Apabila perbahasan berubah menjadi tegang atau emosi menguasai perbincangan, ia bukan sahaja menjejaskan kelancaran perjalanan mesyuarat, malah boleh menimbulkan tanggapan bahawa parti berdepan krisis dalaman atau ketidaksefahaman antara pemimpin dan akar umbi.

Pada hari pertama konvensyen berkenaan, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu telah pun menegaskan bahawa pimpinan perlu bersikap mendamaikan, bukan melaga-lagakan antara satu sama lain.

Beliau dalam masa sama turut mengingatkan bahawa kepimpinan bukan milik individu atau kelompok tertentu, sebaliknya dimiliki secara bersama.

Dalam konteks Amanah, yang merupakan salah satu komponen penting dalam Kerajaan Perpaduan, situasi seperti ini perlu ditangani dengan penuh berhikmah.

Sebagai parti yang membawa imej Islam progresif dan rasional, Amanah perlu menunjukkan kematangan politik yang tinggi, bukan sahaja melalui dasar dan ucapan pemimpin, tetapi juga melalui disiplin dan tata kelakuan ketika berdepan perbezaan pandangan dalam forum rasmi.

Isu berkaitan pemilihan parti sememangnya sensitif kerana ia menyentuh soal kepimpinan dan hala tuju masa depan organisasi.

Artikel Berkaitan:

Namun, perbahasan mengenai perkara itu seharusnya menjadi medan untuk menzahirkan budaya demokrasi yang sihat, bukan medan perbalahan yang mencetuskan kekecohan.

Oleh itu, Konvensyen Nasional ini seharusnya menjadi titik tolak bagi Amanah memperkukuh budaya musyawarah berasaskan hujah, bukannya emosi.

Dalam suasana politik yang semakin mencabar, kestabilan dan kebijaksanaan dalam menguruskan perbezaan pandangan merupakan aset penting untuk memastikan parti terus diyakini sebagai suara yang matang dalam Kerajaan Perpaduan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!