Tibi pembunuh senyap

GENEVA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu mendedahkan penyakit tuberkulosis (tibi) kekal sebagai pembunuh berjangkit utama dunia, dengan dianggarkan 1.23 juta kematian direkodkan tahun lalu, sekali gus memberi amaran bahawa kemajuan menentang penyakit itu masih rapuh.
Menurut laporan tahunan WHO, angka kematian akibat tibi menurun tiga peratus berbanding 2023, manakala jumlah kes baharu menurun hampir dua peratus.
Secara keseluruhan, dianggarkan 10.7 juta individu jatuh sakit akibat tibi pada 2024, terdiri daripada 5.8 juta lelaki, 3.7 juta wanita dan 1.2 juta kanak-kanak.
Tibi ialah penyakit yang boleh dicegah dan dirawat, disebabkan oleh bakteria yang lazimnya menyerang paru-paru serta merebak melalui udara apabila pesakit batuk, bersin atau meludah.
Ketua Jabatan HIV, Tibi, Hepatitis dan Penyakit Jangkitan Seksual WHO, Tereza Kasaeva berkata, kadar jangkitan dan kematian kini menunjukkan penurunan buat kali pertama sejak pandemik Covid-19.
“Pemotongan dana dan faktor berterusan yang mendorong wabak ini boleh menggagalkan kemajuan yang dicapai, tetapi dengan komitmen politik, pelaburan berterusan dan solidariti global, kita mampu menamatkan ancaman kuno ini,” katanya.
WHO memaklumkan pembiayaan untuk pencegahan, diagnosis dan rawatan tibi kekal terhad sejak 2020, dengan hanya AS$5.9 (RM27.7 bilion) bilion disalurkan tahun lalu iaitu jauh daripada sasaran AS$22 bilion (RM103.2 bilion) setahun menjelang 2027.
Lapan negara menyumbang dua pertiga daripada jumlah kes global tibi tahun lalu, dengan India mencatat kadar tertinggi sebanyak 25 peratus, diikuti Indonesia (10 peratus), Filipina (6.8 peratus), China (6.5 peratus), Pakistan (6.3 peratus), Nigeria (4.8 peratus), Republik Demokratik Congo (3.9 peratus) dan Bangladesh (3.6 peratus).
Lima faktor utama yang mendorong penularan penyakit itu ialah kekurangan zat makanan, jangkitan HIV, diabetes, tabiat merokok dan penyalahgunaan alkohol.
Tibi juga merupakan punca kematian utama dalam kalangan penghidap HIV, dengan 150,000 kematian direkodkan pada 2024.
Tahun lalu, seramai 8.3 juta individu disahkan menghidap tibi dan menerima rawatan iaitu jumlah tertinggi pernah dicatatkan, dengan kadar kejayaan rawatan meningkat daripada 68 peratus kepada 71 peratus.
Sejak tahun 2000, WHO menganggarkan rawatan tepat pada masanya telah menyelamatkan kira-kira 83 juta nyawa.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, penurunan beban tibi global dan kemajuan dalam ujian, rawatan serta perlindungan sosial adalah berita baik, namun belum boleh dianggap sebagai kemenangan.
“Fakta bahawa tibimasih meragut lebih sejuta nyawa setiap tahun walaupun boleh dicegah dan dirawat adalah sesuatu yang tidak boleh diterima,” katanya.
Sehingga Ogos tahun ini, terdapat 63 ujian diagnostik dan 29 ubat tibi dalam peringkat pembangunan klinikal, manakala 18 calon vaksin sedang diuji ke atas manusia iaitu enam daripadanya di fasa akhir sebelum kelulusan rasmi.
Vaksin BCG yang digunakan sejak lebih seabad lalu masih menjadi sebahagian program imunisasi kanak-kanak di banyak negara, namun tiada vaksin baharu untuk orang dewasa diluluskan sehingga kini.
Ketua Tabung Global Memerangi AIDS, Tibi dan Malaria, Peter Sands berkata, strategi pencegahan yang lebih baik serta teknologi diagnosis canggih, termasuk alat berasaskan AI yang dapat mengesan tibi dengan lebih cepat dan tepat.
“Inovasi ini sedang mengubah cara dunia memerangi tibi, khususnya di negara berpendapatan rendah,” tambahnya. - AFP
Ringkasan AI
- Tuberkulosis kekal sebagai pembunuh berjangkit utama dengan 1.23 juta kematian tahun lalu
- Angka kematian akibat tibi menurun tiga peratus berbanding tahun sebelumnya
- Dianggarkan 10.7 juta individu jatuh sakit akibat tibi pada tahun semasa
- Kemajuan menentang penyakit tibi masih rapuh dengan pembiayaan untuk pencegahan, diagnosis dan rawatan yang terhad
- Lapan negara menyumbang dua pertiga daripada jumlah kes global tibi, dengan India mencatat kadar tertinggi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
