Bayi meninggal dunia dengan kesan lebam, ibu bapa angkat ditahan

KUALA LUMPUR – Seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan ditemui meninggal dunia dengan kesan lebam pada badan di sebuah kondominium di sini pada Rabu.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 9.34 malam daripada seorang lelaki yang juga merupakan suspek dalam kes berkenaan, memaklumkan bahawa anak angkatnya tidak sedarkan diri di rumah tersebut.
"Sepasukan anggota polis segera ke lokasi kejadian dan menemui mangsa terbaring di ruang tamu dalam keadaan kebiruan serta mempunyai kesan lebam pada badannya.
"Sepasang suami isteri berusia 38 dan 50 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.
Beliau berkata, permohonan reman terhadap kedua-dua suspek akan dibuat pada Khamis bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh.
"Mayat bayi telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk proses bedah siasat," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
