PN Johor persoal belanjawan surplus, rakyat masih belum rasa limpahan kekayaan negeri

Sahruddin Jamal
Sahruddin Jamal
A
A
A

JOHOR BAHRU – Blok Pengimbang Perikatan Nasional (PN) Johor mempersoalkan sejauh mana Belanjawan Johor 2026 mampu memberi manfaat kepada rakyat, meskipun kerajaan negeri mengumumkan belanjawan surplus berjumlah RM2.55 bilion.

Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, walaupun Johor mencatat pertumbuhan ekonomi tertinggi di Malaysia sebanyak 6.4 peratus, hakikatnya ramai rakyat negeri itu masih berdepan tekanan kos sara hidup dan tidak merasai limpahan hasil kekayaan negeri.

"Surplus dan pertumbuhan ekonomi tidak bermakna jika rakyat biasa tidak merasai limpahan hasil negeri.

"Ramai masih bergelut dengan gaji rendah, peluang kerja terhad dan jurang pembangunan yang besar antara bandar serta luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, banyak inisiatif kebajikan diumumkan kerajaan negeri termasuk Bantuan Kasih Johor (BKJ), namun langkah itu hanya bersifat jangka pendek dan tidak menyelesaikan akar masalah ekonomi rakyat.

"Pendekatan yang terlalu bergantung kepada bantuan tunai one-off tidak akan memperkukuh ekonomi rakyat secara berterusan.

"Kerajaan negeri perlu menumpukan kepada dasar pemberdayaan seperti latihan kemahiran, pembangunan keusahawanan dan penyediaan peluang pekerjaan agar rakyat mampu berdikari,” jelasnya.

Dr Sahruddin yang jugak ADUN Bukit Kepong turut mempersoalkan sejauh mana pelaburan besar bernilai RM218 bilion yang berjaya dibawa masuk ke Johor benar-benar memberi manfaat kepada anak muda tempatan.

"Persoalannya, adakah peluang pekerjaan daripada pelaburan ini dimanfaatkan oleh anak Johor sendiri?

Artikel Berkaitan:

"Ramai belia terpaksa keluar bekerja di negeri lain kerana tawaran gaji di Johor masih rendah dan tidak kompetitif,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan, keperluan ketelusan dalam pengurusan perbelanjaan negeri agar setiap sen wang rakyat dibelanjakan secara berhemah dan berimpak.

"Sebahagian besar peruntukan nampaknya lebih tertumpu kepada aktiviti pentadbiran dan promosi imej kerajaan.

"Rakyat berhak tahu ke mana wang negeri dibelanjakan dan bagaimana impaknya kepada kesejahteraan mereka,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau menyambut baik peruntukan untuk pendidikan dan pembangunan modal insan seperti Johor Skills dan Kolej Universiti YPJ, namun mengingatkan agar isu kebolehpasaran graduan diberi keutamaan.

"Dasar pendidikan negeri perlu disesuaikan dengan keperluan pasaran semasa, terutama dalam sektor teknologi, logistik dan ekonomi digital,” ujarnya.

Beliau menegaskan, Blok Pengimbang akan terus memainkan peranan semak dan imbang secara konstruktif bagi memastikan kekayaan negeri benar-benar dinikmati oleh semua lapisan rakyat.

"Kekayaan Johor adalah milik rakyat Johor. Biarlah setiap rakyat merasai nikmatnya, bukan sekadar membacanya dalam laporan belanjawan,” katanya.

Ringkasan AI

  • Blok pengimbang Perikatan Nasional Johor mempertanyakan manfaat Belanjawan Johor 2026 untuk rakyat
  • Pengerusi PN Johor menyatakan pertumbuhan ekonomi tidak bermakna jika rakyat biasa tidak merasai manfaat
  • Banyak inisiatif kebajikan oleh kerajaan negeri hanya bersifat jangka pendek
  • Dr Sahruddin mempersoalkan manfaat pelaburan besar terhadap peluang kerja untuk anak muda lokal
  • Beliau menekankan keperluan ketelusan dalam pengurusan perbelanjaan negeri dan mengutamakan isu kebolehpasaran graduan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!