PKR persoal tiga kelemahan Belanjawan Terengganu 2026

Aiman
Aiman
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu mempersoalkan tiga kelemahan utama dalam Belanjawan Terengganu 2026 yang didakwa masih gagal menjawab isu mendesak rakyat khususnya melibatkan ekonomi dan peluang pekerjaan golongan muda di negeri itu.

Ketua Penerangannya, Aiman Wan Alias berkata, walaupun belanjawan yang dibentangkan kerajaan negeri pada Isnin digambarkan sebagai berimbang dan berfokus kepada kesejahteraan rakyat, ia tidak menampilkan langkah berani yang benar-benar menyentuh keperluan sebenar rakyat.

Menurutnya, persoalan pertama yang perlu dijawab kerajaan negeri adalah mengenai langkah menangani masalah penghijrahan anak muda atau 'brain drain' yang semakin membimbangkan apabila ramai golongan belia terpaksa berhijrah ke negeri lain untuk mencari pekerjaan.

"Keadaan ini mencerminkan kegagalan dasar ekonomi negeri yang tidak menyediakan cukup peluang pekerjaan.

"Kami mencadangkan pelaksanaan Pelan Penempatan Bakat Terengganu yang memberi insentif kepada syarikat tempatan untuk menggaji anak negeri bagi memperluaskan peluang pekerjaan digital serta membina industri inovasi di Terengganu," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Tambahnya, persoalan kedua melibatkan ketiadaan dasar menyeluruh dan jelas bagi memperkukuh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) walaupun sektor itu menjadi tulang belakang kepada ekonomi negeri.

"Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, PMKS sepatutnya menerima perhatian khusus seperti insentif digitalisasi, kemudahan pembiayaan, program inkubasi serta latihan keusahawanan belia. Namun, usaha untuk mengintegrasikan PMKS ke dalam ekosistem ekonomi negeri masih kabur dan tidak strategik," ujarnya.

Aiman berkata, persoalan ketiga berhubung ketiadaan laporan prestasi Exco negeri yang sepatutnya dibentangkan secara terbuka agar rakyat dapat menilai keberkesanan pentadbiran sejak 2023.

"Rakyat berhak mengetahui pencapaian sebenar setiap portfolio termasuk ekonomi, pendidikan, sosial dan pembangunan luar bandar. Tanpa penunjuk prestasi utama (KPI), belanjawan hanya kekal sebagai perancangan di atas kertas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Debat Ekonomi Terengganu diadakan secara terbuka antara Menteri Besar dan wakil MPN PKR Terengganu bagi membincangkan dasar ekonomi negeri secara ilmiah dan profesional.

"Belanjawan Terengganu 2026 perlu disemak semula dengan pendekatan yang lebih berani, terbuka dan berpaksikan hasil sebenar.

"Kerajaan negeri mesti menunjukkan prestasi, memperkasa PMKS dan menyelamatkan potensi belia daripada terus berhijrah keluar," ujarnya.

Ringkasan AI

  • Majlis Pimpinan Negeri PKR Terengganu mempersoalkan kelemahan belanjawan negeri khususnya melibatkan ekonomi dan peluang pekerjaan
  • Walaupun belanjawan berfokus kepada kesejahteraan rakyat, tidak menampilkan langkah menyentuh keperluan sebenar rakyat
  • Masalah penghijrahan anak muda mencerminkan kegagalan dasar ekonomi negeri dalam menyediakan peluang pekerjaan
  • Ketiadaan dasar menyeluruh untuk PMKS walaupun sektor itu tulang belakang ekonomi negeri
  • Cadangan untuk adakan Debat Ekonomi Terengganu bagi membincangkan dasar ekonomi negeri secara terbuka

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!