Zakat MAINPP yakin capai sasaran kutipan RM200 juta

BUTTERWORTH - Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) yakin dapat mencapai sasaran kutipan zakat sebanyak RM200 juta bagi tahun ini hasil kepercayaan masyarakat terhadap ketelusan dan profesionalisme pengurusannya.
Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, keyakinan itu bersandarkan prestasi semasa kutipan zakat yang mencatat lebih RM15 juta sebulan, sekali gus melepasi sasaran bulanan yang ditetapkan.
"Berdasarkan momentum ini, kita yakin sasaran RM200 juta akan berjaya dicapai menjelang akhir tahun sebelum diagihkan semula kepada asnaf melalui program pembangunan di bawah Agenda Pembangunan Agama Islam 2030 (APAI2030)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Guru Agama, Guru Al-Quran dan Anugerah Wakil Kutipan MAINPP 2025 di sini, pada Khamis.
Mohamad yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata, peningkatan kutipan zakat itu turut disokong oleh pelbagai faktor termasuk pelantikan wakalah (wakil kutipan zakat) daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat.
Selain itu, ia termasuk keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang mengenai hukum pembayaran zakat bagi individu yang mencari rezeki di negeri ini.
"Fatwa telah memutuskan bahawa mereka yang bekerja di Pulau Pinang perlu menunaikan zakat di negeri ini. Jika dibayar ke negeri lain, hak asnaf fakir dan miskin di Pulau Pinang akan dinafikan.
"Berikutan itu, atas kesedaran ini, kita lihat ramai yang mungkin sebelum ini membayar ke negeri lain sudah mula membayar di Pulau Pinang," katanya lagi.
Sementara itu, dalam majlis berkenaan seramai 429 guru agama masing-masing menerima insentif wang tunai berjumlah RM1,000 dan seramai 1,304 guru Al Quran menerima RM800 seorang.
Turut diraikan wakil kutipan daripada 27 agensi yang lima daripada mereka telah dianugerahkan dengan Anugerah Prestasi Kutipan Terbaik; Anugerah Kutipan dan Agihan Terbaik, Anugerah Pengurusan Terbaik dan Inovasi; Anugerah Kutipan Zakat Paling Aktif serta Anugerah Dakwah Zakat Terbaik yang masing-masing membawa pulang insentif wang tunai berjumlah RM500.
Sementara itu, Mohamad berkata, melalui pemberian insentif itu pihaknya berharap ia dapat menyuntik semangat guru agama dan guru al-Quran di negeri ini untuk terus berdedikasi serta melonjakkan semangat mereka untuk mendidik anak-anak sekali gus memartabatkan syiar Islam.
"Ini termasuk juga wakil kutipan apabila anugerah yang diwujudkan dapat membantu institusi Zakat MAINPP melonjakkan kutipan bayaran zakat yang kita amat menghargainya," katanya.
Ringkasan AI
- Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang yakin dapat mencapai sasaran kutipan zakat RM200 juta berkat ketelusan pengurusannya
- Prestasi semasa kutipan zakat lebih RM15 juta sebulan, melepasi sasaran bulanan
- Kutipan zakat akan diagihkan kepada asnaf melalui program pembangunan APAI2030
- Peningkatan kutipan disokong pelantikan wakil kutipan zakat dari NGO dan syarikat serta keputusan Fatwa negeri
- Insentif wang tunai diberikan kepada guru agama, guru Al-Quran, dan wakil kutipan zakat sebagai penghargaan dan motivasi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
