Pulau Pinang terus pelihara tapak sejarah, kampung tradisional

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang menegaskan komitmen berterusan untuk memelihara tapak bersejarah dan kampung tradisional apabila mengumumkan Kampung Melayu Lama Air Itam kini dalam proses pencalonan untuk diwartakan sebagai Tapak Warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, pencalonan itu sedang melalui proses mendapatkan persetujuan pemilik serta pihak berkuasa negeri sebelum tindakan seterusnya diambil oleh Jabatan Warisan Negara bagi pewartaan rasmi.
Langkah itu katanya, membuktikan usaha berterusan kerajaan negeri dalam memastikan warisan sejarah dan identiti budaya Pulau Pinang terus terpelihara.
"Selain nilai sejarah, Kampung Melayu Lama Air Itam mempunyai kepentingan tambahan kerana menempatkan makam Sheikh Omar yang dipercayai antara tokoh awal penyebaran Islam di Pulau Pinang.
"Selain kawasan itu, ia masih dihuni dan mempunyai aktiviti sosial serta kemasyarakatan yang aktif," katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Muhamad Kasim (Bersatu-Teluk Bahang) berhubung jumlah kawasan atau kampung yang telah diwartakan sebagai kampung warisan atau zon warisan di Pulau Pinang.
Hon Wai berkata, Jabatan Warisan Negara menetapkan bahawa sesebuah kawasan hanya boleh diiktiraf sebagai tapak warisan sekiranya memenuhi kriteria tertentu termasuk aspek sejarah, komuniti setempat serta kesinambungan aktiviti budaya dan sosial.
"Mana-mana pihak yang ingin mencalonkan sesuatu tapak warisan perlu mengisi borang rasmi dengan maklumat lengkap berkaitan sejarah, nilai komuniti dan elemen lain yang disyaratkan sebelum ia dipertimbangkan untuk pewartaan.
"Kita percaya Kampung Melayu Lama Air Itam memenuhi ciri-ciri tersebut dan pencalonannya adalah langkah penting bagi memastikan tapak itu diiktiraf serta dipelihara untuk generasi akan datang," ujarnya lagi.
Ringkasan AI
- Kerajaan Pulau Pinang komited memelihara tapak bersejarah dan kampung tradisional dengan mencalonkan Kampung Melayu Lama Air Itam sebagai Tapak Warisan
- Pencalonan sedang dalam proses mendapatkan persetujuan dari pemilik dan pihak berkuasa negeri
- Inisiatif ini bertujuan memastikan warisan sejarah dan identiti budaya Pulau Pinang terpelihara
- Kampung Melayu Lama Air Itam penting kerana menempatkan makam Sheikh Omar, salah satu tokoh awal penyebaran Islam di Pulau Pinang
- Jabatan Warisan Negara menetapkan kriteria tertentu untuk pengiktirafan tapak warisan termasuk aspek sejarah, komuniti setempat dan aktiviti budaya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

