Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang masih aktif, tidak dibatal - Kon Yeow

GEORGE TOWN – Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang bukan projek terbengkalai sebaliknya masih aktif dan berada dalam fasa penelitian teknikal serta penyempurnaan reka bentuk.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri tidak pernah mengumumkan pembatalan projek mega di bawah Pelan Pengangkutan Induk Pulau Pinang (PTMP) itu sejak ia dicadangkan pada 2011.
Menurut beliau, walaupun isu itu sering dibangkitkan, kerajaan negeri terus menerima pembentangan terkini daripada syarikat berkaitan bagi meneliti langkah terbaik menangani pelbagai perkara teknikal melibatkan projek berkenaan.
"Projek terowong tidak pernah diumumkan sebagai projek tidak dijalankan selain kita tidak pernah berkata ia akan dibatalkan. Ia masih dibincangkan malah minggu lepas pun, kita masih membincangkan tentang projek itu dalam Mesyuarat Exco baru-baru ini.
"Antara isu utama yang sedang diperhalusi termasuk keperluan memastikan cadangan pembinaan jambatan pengganti tidak menjejaskan operasi Pelabuhan Pulau Pinang serta faktor ketinggian struktur berikutan kedudukannya yang berhampiran Pangkalan Udara TUDM Butterworth.
“Semua ini isu teknikal yang masih dalam peringkat untuk diperhalusi. Mengikut perjanjian, kerja-kerja kajian juga belum selesai dan mereka tidak akan meneruskan sehingga semua pihak berpuas hati dengan reka bentuk jajaran, susunan kewangan serta aspek-aspek lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Azmi Alang (Bersatu-Telok Ayer Tawar) berhubung status Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang.
Kon Yeow juga menegaskan bahawa projek tersebut bukan dihentikan atau dibiarkan, sebaliknya terus diklasifikasikan sebagai projek aktif di peringkat negeri.
Mengulas mengenai pandangan Teh Lai Heng (DAP- Komtar), beliau menyambut baik kenyataan mengenai perlunya sikap optimistik dalam memacu pembangunan negeri.
“Saya jemput Yang Berhormat Teluk Air Tawar bersama-sama saya dalam perjalanan positif ini supaya Teluk Air Tawar, Tasek Gelugor dan seluruh Pulau Pinang dapat menikmati perubahan serta transformasi positif untuk generasi akan datang,” katanya.
Projek terowong dasar sepanjang 6.5 kilometer dan tiga jalan utama merupakan salah satu projek yang terkandung dalam PTMP yang bernilai keseluruhan RM46 bilion.
Terowong dasar laut itu adalah sebahagian daripada pakej projek bernilai RM6.3 bilion.
Ia dicadangkan sebagai penghubung ketiga antara pulau dan tanah besar untuk mengurangkan kesesakan di Jambatan Pulau Pinang.
Ringkasan AI
- Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang masih aktif dan dalam fasa penelitian teknikal serta penyempurnaan reka bentuk
- Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak pernah mengumumkan pembatalan projek ini sejak ia dicadangkan pada tahun 2011
- Isu teknikal termasuk keperluan memastikan operasi Pelabuhan Pulau Pinang tidak terjejas dan mempertimbangkan ketinggian struktur dekat dengan Pangkalan Udara TUDM Butterworth sedang diperhalusi
- Projek ini diklasifikasikan sebagai projek aktif di peringkat negeri dan terus menerima pembaharuan dan perbincangan
- Projek terowong ini adalah sebahagian daripada Pelan Pengangkutan Induk Pulau Pinang yang bernilai RM46 bilion untuk mengurangkan kesesakan di Jambatan Pulau Pinang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

