Lelaki menyamar terima gelaran istiadat ditahan

Bakri (dua dari kanan) menunjukkan rampasan termasuk beberapa dokumen ‘Watikah Penganugerahan’, sijil, lambang, kad keahlian pertubuhan tidak sah serta gambar suspek memakai pakaian istiadat dengan pelbagai gelaran kehormatan palsu.
Bakri (dua dari kanan) menunjukkan rampasan termasuk beberapa dokumen ‘Watikah Penganugerahan’, sijil, lambang, kad keahlian pertubuhan tidak sah serta gambar suspek memakai pakaian istiadat dengan pelbagai gelaran kehormatan palsu.
A
A
A

TELUK INTAN - Polis berjaya membongkar kegiatan seorang lelaki yang menyamar sebagai penerima anugerah kehormatan dan gelaran istiadat palsu selepas menahannya dalam satu operasi khas di sebuah rumah di Taman Banjar Jaya, di sini pada Rabu.

Lelaki tempatan berusia 41 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak menerusi Op Puyuh (Penyamaran) hasil risikan dan pemantauan yang dijalankan sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, siasatan awal mendapati suspek disyaki terlibat dalam pemalsuan gelaran kehormatan serta dokumen pertubuhan tidak sah, dipercayai bagi tujuan memperdaya masyarakat setempat.

"Suspek dipercayai menyalahgunakan anugerah kehormatan dan gelaran istiadat dengan mendakwa dirinya sebagai penerima anugerah diraja serta kerabat kepada beberapa institusi diraja termasuk Perak dan Kelantan.

"Dia juga mengaku sebagai pengamal perubatan tradisional walaupun tidak memiliki sebarang kelayakan dan pengiktirafan untuk menjalankan rawatan tersebut," katanya dalam sidang akhbar di IPD Hilir Perak, di sini pada Khamis.

Bakri berkata, hasil pemeriksaan di lokasi membawa kepada rampasan pelbagai dokumen dan barangan yang digunakan bagi tujuan penyamaran dan memperdaya masyarakat.

Ujarnya, antara rampasan termasuk beberapa dokumen ‘Watikah Penganugerahan’, sijil, lambang, kad keahlian pertubuhan tidak sah serta gambar suspek memakai pakaian istiadat dengan pelbagai gelaran kehormatan palsu.

"Turut dirampas ialah sebuah kereta jenis Toyota Corolla Altis dengan pelekat dan lambang tidak diiktiraf, selain sebuah telefon bimbit serta kad SIM yang dipercayai digunakan bagi urusan penyamaran.

"Rampasan turut melibatkan barangan berkaitan rawatan tradisional yang digunakan suspek bagi mengukuhkan penyamarannya sebagai individu berpengaruh dan berstatus tinggi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, hasil siasatan juga mendapati suspek mengaku terlibat dalam pemalsuan dokumen dan gelaran kehormatan yang dikaitkan dengan Persatuan Bekas Polis Malaysia, dipercayai bagi memperdaya pihak tertentu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta 787 (Akta Anugerah Persendirian 2017) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun jika disabitkan kesalahan," katanya.

Dalam pada itu, Bakri turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan individu atau pertubuhan yang menawarkan atau mendakwa mempunyai gelaran kehormatan tanpa pengiktirafan rasmi pihak berkuasa.

"Polis memandang serius kegiatan pemalsuan anugerah kehormatan dan gelaran istiadat kerana ia bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, malah mencemar nama baik institusi diraja serta pasukan keselamatan," katanya.

Ringkasan AI

  • Polis berjaya membongkar kegiatan seorang lelaki menyamar sebagai penerima anugerah kehormatan dan gelaran istiadat palsu di Teluk Intan
  • Lelaki berusia 41 tahun itu disyaki terlibat dalam pemalsuan gelaran kehormatan dan dokumen organisasi tidak sah
  • Suspek menyalahgunakan anugerah kehormatan dengan mendakwa dirinya sebagai penerima anugerah diraja dan pengamal perubatan tradisional tanpa kelayakan
  • Pemeriksaan lokasi membawa kepada rampasan dokumen palsu, barangan penyamaran, kereta, telefon bimbit, dan barangan berkaitan rawatan tradisional
  • Kes disiasat di bawah Akta Anugerah Persendirian 2017 dengan hukuman penjara maksimum tiga tahun jika disabitkan kesalahan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!