13 individu ditahan dakwa mahu serah barang lama kepada istana - KP Kelantan

KOTA BHARU – [DIKEMAS KINI] Siasatan awal polis mengesahkan kumpulan 13 individu yang ditahan dalam perhimpunan di hadapan Istana Negeri, Kubang Kerian di sini pada Selasa lalu mendakwa ingin menyerahkan barangan lama kepada pihak istana.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, bagaimanapun ujian saringan awal air kencing mendapati lima daripada mereka positif dadah.
Menurut beliau, kejadian itu dikesan selepas Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu menerima panggilan dari Balai Polis Kubang Kerian pada jam 11.40 pagi memaklumkan mengenai kehadiran sekumpulan lelaki berhimpun di hadapan istana.
“Seramai 13 individu termasuk seorang wanita ditahan dan dibawa ke IPD untuk siasatan.
“Barangan yang mereka bawa termasuk beberapa objek lama yang didakwa ingin diserahkan kepada pihak istana,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, akhbar melaporkan mereka yang ditahan reman di Mahkamah Majistret Kota Bharu itu termasuk tiga Orang Asli.
Menurut sumber, barangan ditemui terdiri daripada senjata tajam seperti keris, lembing, kelewang, pedang dan benet.
Turut ditemukan kayu, tongkat buluh, teko tembaga, cawan tembaga, rantai manik, duit syiling pelbagai mata wang, akar kayu dan songket berwarna kuning.
Mohd Yusoff berkata, kesemua suspek berusia antara 26 hingga 67 tahun termasuk seorang wanita itu direman selama empat hari bermula Rabu hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan kerana menyertai perhimpunan tidak sah serta Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 susulan rampasan beberapa jenis senjata tajam yang ditemui bersama kumpulan tersebut.
“Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.
Ringkasan AI
- Kumpulan 13 individu ditahan kerana berkumpul di hadapan Istana Negeri Kubang Kerian untuk menyerahkan barangan lama
- Lima daripada mereka positif dadah berdasarkan ujian saringan awal air kencing
- Kejadian itu dikesan selepas Balai Polis Kubang Kerian melaporkan kepada Pusat Kawalan IPD Kota Bharu
- Barangan yang dibawa termasuk senjata tajam dan objek lama lain seperti kayu, tongkat buluh, dan songket berwarna kuning
- Suspek berusia 26 hingga 67 tahun direman empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

