Program rumah tangga songsang: Polis akan panggil 50 individu bantu siasatan

SHAH ALAM - Polis akan memanggil 50 individu untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung program motivasi rumah tangga yang didakwa songsang dan terpesong.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, keterangan mereka ini akan diambil dalam masa terdekat.
"Polis akan mengambil keterangan daripada pasangan suami isteri (penganjur program) itu terlebih dahulu.
"Seramai 50 orang akan dipanggil. Namun, saya tidak boleh kongsikan lagi bila mereka akan diambil keterangan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Dalam pada itu, Hussein turut memaklumkan pihaknya masih belum dapat mengesahkan kandungan 'Air Piya' yang didakwa mengandungi bahan mengkhayalkan selepas diminum oleh peserta program.
Katanya, sampel air itu masih dalam proses siasatan dan belum dihantar ke makmal forensik.
"Jadi, kita belum dapat sahkan (dakwaan kandungan bahan terlarang dalam air terbabit)," ujarnya.
Jumaat lalu, media melaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menjalankan siasatan secara terperinci bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi memastikan kesahihan maklumat berhubung program motivasi rumah tangga terbabit.
Ini susulan masyarakat dikejutkan dengan pendedahan seorang pengguna media sosial mengenai program yang diusahakan oleh sepasang suami isteri.
Dalam hantaran yang tular di laman Facebook berkenaan, turut didakwa bahawa terdapat wanita telah melakukan tarian bogel dalam program yang berlangsung di sebuah pusat konvensyen di Shah Alam, Selangor.
Peserta program itu juga didakwa diberi sejenis air yang tidak diketahui kandungannya sehingga menyebabkan perubahan emosi dalam tempoh yang singkat.
Selain itu, peserta turut disuruh melakukan upacara mandi suci dan kelahiran semula yang menyerupai ritual keagamaan lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
