Bot karam: Empat mayat lagi ditemui, jumlah korban meningkat kepada 25 orang
Kesemua mayat dibawa ke Teluk Ewa untuk proses dokumentasi dan siasatan.

LANGKAWI - Tragedi bot karam yang dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan sempadan Malaysia–Thailand terus meragut nyawa apabila empat lagi mayat ditemukan pada Selasa, menjadikan jumlah keseluruhan korban meningkat kepada 25 orang.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Romli Mustafa berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat lelaki dewasa berhampiran Pulau Beras Basah.
“Sebuah aset Maritim Malaysia telah digerakkan ke lokasi dan mayat tersebut berjaya dibawa ke jeti sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tidak lama selepas itu, Maritim Malaysia menemukan mayat seorang kanak-kanak lelaki yang terapung di perairan Tanjung Chincin, diikuti penemuan satu lagi mayat yang belum dikenal pasti di kawasan sama.
Kesemua mayat dibawa ke Teluk Ewa untuk proses dokumentasi dan siasatan.
Pada jam 11.20 pagi, aset milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) turut melaporkan penemuan satu lagi mayat kanak-kanak lelaki berhampiran Tanjung Belua, yang kemudiannya diserahkan kepada pihak berkuasa.
Romli berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan dengan kerjasama pelbagai agensi bagi mengesan baki mangsa yang masih hilang.
“Maritim Malaysia bersama semua agensi sokongan kekal komited dalam usaha mengesan mangsa yang belum ditemukan. Kami akan terus memperluas kawasan pencarian,” ujarnya.
Setakat ini, 16 mayat ditemukan di perairan Malaysia manakala sembilan lagi di perairan Thailand.
Seramai 13 mangsa berjaya diselamatkan, kesemuanya di perairan Malaysia.
Difahamkan, kumpulan migran terbabit berlepas dari Buthidaung, Myanmar, hampir sebulan lalu menaiki sebuah kapal induk yang membawa kira-kira 300 orang.
Ketika menghampiri sempadan maritim Thailand–Malaysia, mereka dipecahkan kepada tiga bot iaitu satu kapal utama dan dua bot kecil.
Salah satu bot kecil yang membawa kira-kira 70 orang dipercayai karam menyebabkan ramai mangsa masih belum ditemukan.
Kumpulan selebihnya yang dianggarkan seramai 230 orang dari pelayaran asal masih belum dapat dikesan.
Ringkasan AI
- Tragedi bot karam di Langkawi menyebabkan jumlah korban meningkat kepada 25 orang
- Empat mayat ditemukan, merangkumi lelaki dewasa dan kanak-kanak lelaki
- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan dengan kerjasama pelbagai agensi
- Sehingga kini, 16 mayat ditemukan di perairan Malaysia dan sembilan di perairan Thailand
- Bot tersebut membawa migran dari Myanmar, berpecah kepada tiga bot ketika hampir sempadan maritim Thailand-Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

